Calon KM PN: PAS nafi tidak sokong Mas Ermieyati

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin
- Advertisement -

MELAKA: PAS menafikan membuat kenyataan tidak bersetuju dengan calon Ketua Menteri Perikatan Nasional (PN) Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan sebaran palsu menggunakan kepala surat Majlis Syura Ulamak itu sebagai fitnah yang berat.

- Advertisement -

“Saya meminta untuk mereka yang bertanggungjawab terhadap fitnah ini agar menarik balik sebaran palsu tersebut dan juga menjauhi perbuatan yang tercela demi kepentingan nafsu,” tegasnya dalam kenyataan malam tadi.

Ini susulan tular satu kenyataan media menggunakan kepala surat Majlis Syura Ulamak PAS yang mendakwa parti itu tidak menyokong pencalonan Mas Ermieyati sebagai Ketua Menteri jika PN mendapat mandat membentuk kerajaan di Melaka.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Perikatan Nasional membawakan calon wanita sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka.

Menerusi catatan di laman Facebook, beliau menyatakan calon Ketua Menteri itu adalah Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin iaitu calon Perikatan Nasional bagi DUN Tanjung Bidara.

“Kepada rakyat Negeri Melaka, undilah Perikatan Nasional bagi membawa pembaharuan di Negeri Melaka ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perikatan Nasional mencalonkan Mas Ermieyati sebagai Ketua Menteri jika memenangi PRN Melaka pada sidang media di Ibu Pejabat PN di Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 20/11/2021

- Advertisement -