Nuridah dipilih semula sebagai Ahli Dewan Negara

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini sebulat suara meluluskan usul melantik semula Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh sebagai Ahli Dewan Negara.

- Advertisement -

Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan Nuridah dilantik semula bagi mewakili Terengganu untuk tempoh tiga tahun.

“Semoga penyertaan beliau (Nuridah) mewakili Terengganu akan memberikan sesuatu sumbangan kepada agama dan negeri,” kata Ahmad Samsuri pada persidangan DUN di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Nuridah, 60, yang berasal dari Kampung Padang Buloh, Pekan, Pahang mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Agama Kuala Rompin dan menyambung pengajian ke peringkat Diploma Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Ijazah Pengubatan Islam di Darussyifa’.

Pendakwah bebas itu pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) di Parlimen Rompin pada PRU13, Parlimen Sungai Buloh pada PRU14 serta DUN Tahan pada PRU12.

Ibu kepada 10 orang anak itu turut aktif dalam persatuan dan menyertai program kemanusiaan seperti Misi Kemanusiaan ke Syria, Myanmar, Bangladesh, Jerman dan Republik Czech. – BERNAMA

- Advertisement -