Kempen saat akhir lebih agresif

- Advertisement -

MELAKA: Pendekatan untuk berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lebih agresif memandangkan tempoh untuk berkempen hanya tinggal lebih kurang 48 jam sahaja lagi.

Calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Kamarudin Sidek, berkata pendekatannya dalam berkempen lebih agresif berbanding hari sebelumnya.

Katanya, sepanjang berkempen beliau menerima maklum balas positif daripada pengundi Duyong, namun tidak mahu terlebih yakin setakat ini.

“Oleh kerana SOP (prosedur operasi standard) yang ketat, banyak tempat yang kita rasa terhalang untuk pergi.

“Jadi hari ini saya berkempen juga mengikut SOP melalui aktiviti rutin harian saya, minum pagi bersama rakyat, solat berjemaah dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, semasa berkempen di Taman Seri Duyong, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Mengulas berhubung isu undi protes katanya, pihaknya maklum mengenai sentimen pengundi yang tidak mahu keluar mengundi.

Justeru itu katanya, satu usaha sedang dijalankan untuk berusaha mengajak pengundi keluar membuang undi pada 20 November ini.

“Sama ada orang Melayu atau Cina, saya rasa sepanjang berkempen ini memang ada mood itu. Dulu masa bubar Parlimen memang rakyat rasa kecewa.

“Tetapi sekarang nampak macam ada satu aura atau gelombang kepada ‘Abah’, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini agak kuat (aura) sebenarnya,” katanya.

Menurutnya lagi, sepanjang berkempen beliau mendapati, terdapat penyokong parti tertentu yang tidak berminat dengan politik yang digunakan sesetengah parti hari ini.

Beliau mengambil peluang itu untuk mempromosi kepimpinan yang ditonjolkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apabila kita sebut Abah itu mereka rasa lebih mesra. Itu sedikit gelombang yang saya harapkanlah.

“Saya harapkan semua pengundi keluar pada 20 November ini, ikut masa yang ditentukan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan juga SOP ditetapkan.

“Beri peluang kepada saya pada kali ini, calon Perikatan Nasional DUN Duyong, calon nombor 5,” katanya.

Selain beliau, tujuh lagi calon daripada PAS yang bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional ialah Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri. – HARAKAHDAILY 18/11/2021

- Advertisement -