Kelantan sasar 6 juta pelancong tahun depan

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH: Industri pelancongan di Kelantan semakin pulih apabila kemasukan pelancong meningkat dengan jumlah yang ketara selepas kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Abd Rahman berkata, sehingga bulan lepas sejumlah 500,000 pelancong mengunjungi Gunong Stong, Dabong.

- Advertisement -

“Ini bermakna 50 hingga 60 peratus industri pelancongan dalam proses pemulihan terutama menjelang tahun depan,” katanya selepas majlis perasmian Karnival Sukan Antara Jajahan di Pantai Bisikan Bayu, di sini, hari ini.

Persmian karnival itu disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Wan Roslan Wan Hamat dan Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim.

Md Anizam juga berkata, kebanyakan hotel-hotel terutamanya di Kota Bharu sentiasa dipenuhi pengunjung, di samping kekerapan penerbangan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pangkalan Chepa.

Menurutnya, berdasarkan perkembangan tersebut, Kelantan menyasarkan 5 hingga 6 juta pelancong domestik dan asing mengunjungi negeri itu pada tahun depan.

Katanya lagi, Kelantan mempunyai lokasi pelancongan menarik di sepanjang pantai bermula dari Tumpat sehingga Pasir Puteh.

Sementara produk rekreasi pula terkenal termasuklah di Gunong Stong Dabong, Jeram Mengaji di Pasir Puteh dan Kolam Air Panas Tok Bok di Machang.

“Selain itu, Muzium Pertanian dan Pusat Pendakian Bukit di Lojing akan dibuka pada bulan depan yang dijangka menjadi tarikan baharu pelancong untuk berkunjung ke Kelantan,” katanya. -HARAKAHDAILY 18/11/2021

- Advertisement -