Simposium Kuari dan Kilang Kelapa Sawit Perak

- Advertisement -

PAGI ini saya berkesempatan merasmikan Simposium Kuari dan Kilang Kelapa Sawit (KKS) Lestari sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2021 Peringkat Negeri Perak di Hotel Excelsior, Ipoh.

- Advertisement -

Berikut adalah ucapan saya:

Tuan puan, hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

Setinggi-tinggi syukur saya panjatkan kerana kita dapat berkumpul pada pagi yang mulia ini dalam Majlis Simposium Kuari dan Kilang Kelapa Sawit Lestari, Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Negeri Perak. Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Pengarah dan seluruh warga kerja Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak di atas penganjuran simposium yang sangat bermakna ini. Tidak lupa juga kepada semua agensi-agensi yang turut berperanan bagi memastikan majlis ini berjalan lancar.

Tuan puan, hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

Seperti yang dimaklumkan oleh Tuan Pengarah JAS Perak dalam ucapan aluan beliau sebentar tadi, simposium ini merupakan rentetan daripada program Penganugerahan Kuari Lestari – Anugerah Alam Sekitar dan Kilang Kelapa Sawit Lestari – Anugerah Alam Sekitar yang telah dijalankan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Negeri Perak. Saya rasa berbangga walaupun program ini baru julung-julung kali diadakan di Negeri Perak, tuan-tuan dan puan-puan selaku pemain industri memberikan sokongan penuh terhadap program ini. Sebanyak 36 kuari dan 42 kilang kelapa sawit di Negeri Perak telah menyertai program penganugerahan ini. Tahniah dan syabas kepada semua!

Tidak lupa juga saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada pemenang-pemenang bagi penganugerahan ini yang telah diumumkan pada 23 Oktober 2021 yang lalu ketika Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Negeri Perak di Dewan Majlis Daerah Selama. Yang Amat Berhormat, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan beberapa barisan pemimpin tertinggi juga telah sudi hadir dan menyampaikan hadiah kepada pemenang. Ini menunjukkan seluruh kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Perak menyokong penuh program-program kesedaran alam sekitar seterusnya mendokong hasrat ‘Perak Bumi Lestari’. Sukacita saya ingin berkongsi dengan tuan atau puan senarai pemenang bagi Penganugerahan Kuari Lestari – Anugerah Alam Sekitar dan Kilang Kelapa Sawit Lestari – Anugerah Alam Sekitar.

Pemenang Penganugerahan Kuari Lestari – Anugerah Alam Sekitar:

1. Kategori Kuari Batu Kapur:


Pemenang Pertama:
Associated Pan Malaysia Cement Sdn Bhd

Pemenang Kedua:
Perak Hanjoong Cement Sdn Bhd

Pemenang Ketiga:
RCI Lime Sdn Bhd

2. Kategori Kuari Granit:

Pemenang Pertama:
Simfoni Saujana Sdn Bhd

Pemenang Kedua:
Madu Jaya Enterprise Sdn Bhd

Pemenang Ketiga:
Syarikat Lumut Quarry Sdn Bhd

3. Anugerah Khas Kuari Lestari:

Anugerah Khas Komitmen Dokumentasi:
Thang Kiang Nam Trading Sdn.Bhd

Anugerah Khas Landskap:
Simfoni Saujana Sdn.Bhd

Anugerah Khas CSR:
MCB Quarries Sdn.Bhd

Pemenang Penganugerahan Kilang Kelapa Sawit Lestari – Anugerah Alam Sekitar:

Anugerah Alam Sekitar:
Ulu Bernam Optimill

Anugerah Pengurusan Buangan Terjadual Terbaik:

Boustead Plantations Berhad 
Kilang Kelapa Sawit T.R.P. – Trong Oil Mill)

Anugerah Pengurusan Efluen Terbaik:
Topaz Emas Sdn. Bhd.

Anugerah Pengurusan Udara Terbaik:
UIE (M) Sdn. Bhd.

Tahniah kepada semua pemenang. Semoga ia menjadi pendorong kepada premis-premis lain untuk mempertingkatkan mutu pengoperasian premis masing-masing bagi sesi penganugerahan yang akan datang. Sehubungan itu, suka saya ingin mengumumkan bahawa Penganugerahan Kuari Lestari dan Kilang Kelapa Sawit Lestari akan diteruskan pada masa akan datang untuk setiap 2 tahun. Jadi tuan-tuan dan puan-puan mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan dalam menghadapi sesi penganugerahan dan penilaian kelak.

Tuan puan, hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

Saya difahamkan bahawa susulan daripada program penganugerahan ini, pihak penganjur iaitu Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak telah mengadakan satu bengkel khas iaitu Bengkel Kuari dan Kilang Kelapa Sawit Lestari yang telah diadakan pada 15 November 2021 bagi membincangkan langkah-langkah penambahbaikan ke atas program penganugerahan ini di masa akan datang di samping memantapkan lagi intipati penganugerahan pada masa akan datang.

Pelbagai agensi luar turut dijemput untuk sama-sama duduk berbincang mencari solusi dalam membimbing pihak kuari dan kilang kelapa sawit dalam meningkatkan pematuhan undang-undang dan melonjakkan imej industri ini sebagai penggerak kepada kelestarian alam sekitar dan impak sosial kepada komuniti atau masyarakat. Semua dapatan dan penambahbaikan daripada sesi bengkel ini akan dibentangkan kepada tuan-tuan dan puan-puan dalam sesi simposium hari ini.

Tuan puan, hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

Saya difahamkan juga simposium ini diadakan adalah bersempena Hari Kitar Semula Kebangsaan yang merupakan sambutan tahunan yang disambut pada tanggal 11 November setiap tahun. Kita dapat menyaksikan bahawa Jabatan Alam Sekitar giat mempromosikan kempen pengumpulan sisa buangan elektrik dan elektronik (ewaste). Baru-baru ini sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Negeri Perak, sebanyak 231.6 Tan Metrik sisa buangan elektrik dan elektronik telah berjaya dikumpul di seluruh Negeri Perak berbanding sasaran 100 Tan Metrik. Ini merupakan satu kejayaan yang sangat membanggakan dan membuktikan Perak Boleh! Saya yakin tuan atau puan turut menjadi penyumbang dalam jumlah kutipan ewaste ini. Syabas semua! 

Tuan puan, hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, sukacita saya ingin merakamkan sekali lagi penghargaan kepada semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Simposium Kuari dan Kilang Kelapa Sawit Lestari, Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Negeri Perak pada hari ini. Semoga dengan bantuan, komitmen dan kerjasama tuan atau puan, hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Perak Bumi Lestari dapat kita realisasikan. 

Diharapkan juga agar semua peserta yang menyertai simposium ini mendapat manfaat sepanjang majlis ini berlangsung dan juga boleh berkongsi ilmu dan maklumat dengan rakan-rakan di luar sana yang tidak berpeluang untuk menyertai simposium ini. Saya sebagai EXCO yang memegang portfolio kesihatan juga ingin menyeru kepada tuan atau puan untuk terus menjaga SOP dalam usaha kita mengekang wabak COVID-19 ini dan semoga kita semua terus terpelihara.

Akhir kata, sama-sama kita berusaha melaksanakan tanggungjawab untuk menjaga dan memulihara alam sekitar dan menjadikan Perak Bumi Lestari terlaksana. Ayuh kita sama-sama berganding bahu, ke arah membudayakan konsep ‘Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar Sebagai Tanggungjawab Bersama’.

Dengan lafaz Bismillahiramanirahim, saya merasmikan Simposium Kuari dan Kilang Kelapa Sawit Lestari, Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Negeri Perak

Sekian, terima kasih.

YB MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi 
Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak – HARAKAHDAILY 16/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/374752124290199/posts/405757867856291

- Advertisement -