Lesen baharu premis judi: Semua patut sokong kerajaan Kedah

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Keputusan kerajaan negeri Kedah untuk tidak mengeluarkan lagi lesen premis judi sepatutnya disokong semua pihak tanpa mengira kaum dan agama.

Ustaz Hanif Ghazali (PAS- Tanjung Dawai) berkata, tindakan itu adalah bagi menjaga keselamatan serta keharmonian semua bangsa di negeri itu.

- Advertisement -

Menurutnya, tindakan seumpama itu telah dilakukan oleh kerajaan Republik China semenjak tahun 1949 lagi dan hanya membenarkan aktiviti perjudian beroperasi di dua wilayah iaitu Macau dan Hong Kong sahaja.

“Oleh itu, sekiranya ada dakwaan judi merupakan budaya masyarakat Cina, ada sesuatu yang perlu dilihat di mana Republik China sebelum ini telah meminta Filipina menghapuskan judi online kerana aktiviti itu telah memberi implikasi buruk,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan sempena Sidang Bajet Kedah 2022, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini. 

Tambahnya, sebagai seorang Islam, terdapat lima maqasid syariah yang perlu dipelihara iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

Ekoran itu judi hanya akan mengundang masalah masyarakat dan keruntuhan institusi kekeluargaan.

“Apabila ketua keluarga (ayah) kaki judi, terpaksa cari duit untuk berjudi. Hutang along. Akhirnya gadai anak isteri.

“Kalaulah untuk membentras judi haram itu agak sukar tetapi sekurang-kurangnya berusaha yang mana dibolehkan dahulu itu adalah yang terbaik,” katanya.

Sementara menyentuh isu berkaitan mengehadkan penjualan arak, Hanif berpendapat, tindakan itu bertepatan dengan kehendak al-Quran (surah Al-Maidah ayat 90 dan 91) yang menyebut akan kemudaratan berkaitan arak dan judi.

Hal itu perlu diambil perhatian kerana Malaysia antara negeri yang tersenarai oleh Perubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di tangga ke-11 mempunyai bilangan pengguna alkohol (arak) teramai membabitkan perbelanjaan berjumlah RM1.5 billion setahun dan jika dibahagikan dengan jumlah rakyatnya menjadikan setiap orang meminum tujuh liter arak setahun. 

“Kajian Institut Keselamatan Jalanraya juga mengatakan mabuk (disebabkan arak) antara faktor 13 kali ganda punca kemalangan jalan raya.

“Malah pada tahun 2013, parlimen Singapura telah membuat keputusan tidak membenarkan arak dijual bermula jam 10.30 malam hingga 7 pagi di kawasan kawalan (Little India) ekoran kejadian rusuhan akibat kesan pengambilan arak,” ujar beliau lagi.

Islam tegasnya, amat menitikberat akan hal berkaitan arak sehinggakan amalan individu yang meminumnya sama ada sembahyang atau lain-lainnya tidak diterima selama 40 hari. Hukuman itu bertepatan apabila kajian dilakukan, arak akan kekal di dalam tubuh manusia selama 40 hari. 

Sementara itu keputusan kerajaan negeri untuk tidak mengeluarkan lesen premis judi yang diumumkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kelmarin dibantah tiga  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang iaitu Tan Kok Yew (DAP-Derga), Oii Tze Min (PKR- Bakar Arang) dan Teh Swee Leong (DAP-Kota Darul Aman).

Ketiga-tiga ADUN terbabit senada dalam ucapan perbahasan masing-masing meminta kerajaan menarik semula keputusan itu demi keharmonian rakyat Kedah.

Selain itu, mereka juga berpandangan tindakan tidak mengeluarkan lesen judi akan mengakibatkan negeri kehilangan pendapatan,mengakibatkan pengangguran dan pengusaha terbabit menanggung kos kerugian. – HARAKAHDAILY 16/11/2021

- Advertisement -