‘Political will’ seorang pemimpin

- Advertisement -

POLITICAL will ialah kemahuan politik atau kemahuan untuk melakukan sesuatu dengan kuasa politik yang ada pada seseorang pemimpin. Kuasa sahaja tidak cukup tanpa kemahuan, dan kedua-dua itu masih tidak cukup tanpa keberanian.

Lazimnya, seseorang ahli politik takut untuk bertindak tegas, takut untuk menegah sesuatu yang batil atau membawa kemudaratan kepada masyarakat kerana bimbang akan kehilangan populariti, pengaruh atau undi. 

- Advertisement -

Ahli politik yang seperti ini sering ‘play safe’ atau paling tidak, akan mengambil kira jangkaan reaksi masyarakat (atau sesuatu kelompok masyarakat) yang boleh mempengaruhi kadar sokongan terhadap dirinya, bukan atas dasar keperluan atau kebaikan tindakan itu dilakukan.

Vis-a-vis politik Malaysia, menjaga kepentingan dan populariti kaum minoriti selalunya akan lebih diutamakan. Perpecahan politik kaum majoriti mempengaruhi ahli-ahli politik untuk bergantung harap terhadap sokongan kaum minoriti.

Ironinya, bukan ahli politik sahaja, mereka yang menggelar diri kononnya pejuang hak asasi juga sering melebihkan golongan minoriti meskipun apa yang disebut sebagai hak itu adalah perkara-perkara yang bukan semata-mata bercanggah dengan hukum-hakam agama malahan juga hukum moral dan tabi’e semulajadi manusia.

Atas hal-hal yang semacam inilah, kehidupan manusia semakin jauh tersesat. Kerosakan ini ada hubung kait dengan penyelewengan sikap sesetengah ahli politik yang lebih mengejar populariti berbanding kewajipan untuk memimpin masyarakat ke arah kebaikan dan kebenaran.

Pemimpin yang sebenar perlu memandu orang ramai, bukan dipandu oleh orang ramai. Pemimpin yang sebenar tidak bergantung pada populariti yang pseudo, yang direka-reka untuk sengaja mencari perhatian.

Pemimpin yang sebenar sikapnya tegas, prinsipnya jelas dan hatinya juga ikhlas. Dia bukan tidak sayangkan rakyat yang dipimpin, bukan juga mahu menyusahkan mereka. Jauh sekali daripada menyekat kebebasan dan kegembiraan mereka.

Pemimpin yang sebenar sebaliknya mahu menyelamatkan mereka daripada tipu daya dunia, mahu memimpin mereka menuju ke  syurga, bukan ke neraka. Judi dan arak adalah antara eksploitasi ketagihan dan keseronokan yang palsu dibawa oleh syaitan untuk menyesatkan manusia. 

Kedua-duanya membawa keburukan semata mata namun jarang ada pemimpin yang mempunyai keberanian untuk mengambil tindakan tegas berkaitan itu yang telah dianggap budaya bagi orang bukan-Islam. Sebenarnya, langkah itu boleh mengundang implikasi yang pelbagai dan di luar jangka. 

Tanggungjawab utama pemimpin ialah membimbing rakyat di jalan yang benar, dan kesesatan yang dibawa oleh judi, arak (dan dadah) adalah merentasi kaum dan agama, tidak kira siapa. Akan tetapi yang digembar gemburkan yang mengharamkan arak dan judi hanya Islam, kononnya agama lain, tidak. 

Walhal semua agama dan semua pedoman moral menegah perbuatan itu. Bagi yang mempertahankan arak dan judi, itu adalah mereka yang pemikirannya telah dijajah oleh liberalisasi dengan pegangan agama mereka sendiri telah tersasar. 

Namun keberanian dan kemahuan yang kuat menjadi teras dengan mengingat hal kehidupan sesudah mati dan apa yang perlu dijawab di hadapan Allah S.W.T kelak.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyokong pemimpin yang menggunakan kuasa untuk memandu kita ke arah kebaikan dan keredaan tuhan. Bukan pemimpin sahaja, kita juga ada tanggungjawab dan akan disoal.

Dengan menyokong pemimpin yang ada keberanian untuk mencegah perkara mungkar, insya-Allah kita lepas satu tuntutan.

MUHAMAD MAT YAKIM – HARAKAHDAILY 16/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/596018318/posts/10159954734573319/

- Advertisement -