Afghanistan: Peta luka umat Islam yang dilupakan (Siri 1)

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

AFGHANISTAN bukan sekadar sebuah negara kontang berbatu, bukan semata warganya yang tegar dengan sikap keras dan tak bermanis mulut. Afghanistan ialah lambang perlawanan sebuah bangsa yang kuat menjiwai agama sejak zaman berzaman.

Saat Empayar Pax Britannica menjarah sebahagian daripada dunia, namun tak mampu mereka menakluki bumi Afghanistan. Etnik Pashtun, Tajik, Uzbek dan Hazara bukan sembarangan untuk bertekuk lutut, merayu ampun. Britain ditampar malu dengan lelaki berkurta tak berseluar dalam.

Perang Anglo-Afghan ketiga pada tahun 1919-1921 menamatkan perang ke atas Afghanistan oleh Empayar Pax Britannica. Sebelum itu, matlamat British ialah untuk memastikan Sub Continent (benua kecil India) bebas daripada pengaruh Russia.

- Advertisement -

Lokasi negara ini seolah bulatan jalan raya yang sangat strategik, hampir dengan laluan sutera yang cuba dibangunkan kembali oleh China. Di zaman perang dingin blok kapitalis dan komunis, negara itu juga dalam senarai rebutan dua pola ideologi dunia, Afghanistan melakar sejarah perebutan kuasa besar dunia walau dilihat tidak terlalu ekonomik secara zahir.

Kelompok kelas menengah negara ini agak condong kepada fahaman komunisme serta sosialisme. Begitu juga dengan tokoh-tokoh penting seperti Nur Muhammad Taraki, Najibullah dan lain-lain sosok pemimpin.

Saat kebangkitan semula Islam melakar kanvas peta dunia Islam, Afghanistan juga memicu minat masyarakat antara bangsa. Penjarahan kuasa Soviet Komunis yang berkolaborasi dengan Parti Komunis Afghanistan.

Afghanistan ditawan oleh beruang Komunis Russia pada 4 Disember 1979, segalanya untuk menyelamatkan proksi Mereka di Afghanistan. Soviet Komunis sejak daripada dekad 1930an mengintai ruang pertapakan ideologi komunisme.

Dalam mengisi penaklukan mereka ke atas Afghanistan, Russia telah memperalatkan pemimpin tempatan seperti Hafizullah Amin dan Babrak Kamal. Umat Islam telah didoktrinkan dengan fahaman komunis secara besar-besaran melalui sistem pendidikan yang diceduk dari Russia, mimbar-mimbar masjid telah dijadikan alat menuangkan propaganda kepada rakyat, pergaulan bebas, muzik dan arak dibudayakan kepada rakyat tempatan.

Kebudayaan kafir yang lucah dan murahan dipaksa terhadap rakyat malah 20,000 biasiswa telah diberikan kepada para belia dan pemuda tempatan untuk menyambung pelajaran ke Russia dan negara-negara komunis yang lain.

Pelajar ini diharapkan akan menjadi agen penebar ‘kesesatan marxisme’ apabila pulang ke tanahair serta menjadi alat politik mereka untuk terus menguasai Afghanistan.

Tidak cukup dengan darah dan besi, Russia dan munafikin tempatan ini cuba pula untuk meracuni rakyat dengan slogan dan warna Islami seperti latar bendera Afghanistan daripada berwarna merah kepada warna hijau (1980), usaha ini untuk menarik kembali sokongan rakyat dan mengambus kejahatan mereka dalam tahun pertama penjajahan.

Dalam masa yang sama, tokoh-tokoh ulama dan aktivis Islam telah digiring ke penjara dan mengalami penyiksaan, dirogol oleh tentera Soviet. Russia dari semasa ke semasa terus menambahkan jumlah kekuatan anggota tenteranya di Afghanistan.

Pada tahun 1981 sahaja seramai 95,000 orang tentera Russia telah berada di Afghanistan. Kanak-kanak dan wanita tidak terkecuai daripada menjadi mangsa pembantaian yang tragis ini, bukit-bukau serta gunung-ganang yang kontang telah menjadi saksi bisu akan kekejaman ‘Beruang Merah Russia’ dalam abad 20 ini yang akhirnya telah menjadi pemicu kepada keabangkitan Islam sejagat.

Kesan daripada kezaliman inilah maka seruan jihad telah dilancarkan oleh para alim ulama, genderang perang mula ditabuh sahut menyahut di seluruh belahan bumi, berpusu-pusu insan beriman menyahut panggilan jihad ini.

Menurut Fadhal Mohammad (2001), fatwa jihad di Afghanistan ini julung kalinya telah dikeluarkan oelh Sheikhul Hadith Pakistan iaitu Maulana Abdul Haq dan Hadrat Mufti Mahmud, kesannya ialah ulama dan pelajar-pelajar madrasah ialah kelompok terawal bangun menentang Soviet walaupun bermula dengan senjata ala kadar.

Ulama-ulama yang soleh yang cintakan kemuliaan Islam telah berani bersuara, membacakan firman-firman Allah tentang jihad dan kelebihannya serta menghuraikan hadis-hadis Nabi SAW yang akhirnya telah merangsang semangat jihad pemuda Islam bukan semata warganya sendiri namun akhirnya membuka ruang pada pemuda Islam bukan Afghanistan untuk mengambil peluang berjihad disana.

Dekad 80an mula menyaksikan tanah Afghanistan mula didatangi oleh mujahideen daripada luar seperti Mesir, Saudi, Algeria, Yaman, Indonesia, Filipina termasuk Malaysia juga tak terkecuali.

Bersambung…

Penulis ialah Anggota misi Kemanusiaan Afghanistan Muslim Care Malaysia. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -