Langkah pencegahan yang menepati Maqasid Syariah

YADIM sokong penuh dan dukung keputusan Kerajaan Negeri Kedah hentikan lesen judi dan hadkan jualan arak

- Advertisement -

YADIM menyokong penuh dan mendukung keputusan Kerajaan Negeri Kedah yang tidak lagi meluluskan lesen perjudian kepada mana-mana premis perjudian di setiap 12 PBT di Kedah. Keputusan ini diumumkan oleh YAB Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas pembentangan Bajet Kedah 2022 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.

Sekali gus keputusan ini menjadikan tiada lagi perjudian di Kedah selepas lesen premis perjudian yang sedia ada tamat tempohnya nanti. 

- Advertisement -

YADIM juga bersetuju dengan pendirian Kerajaan Negeri Kedah bahawa aktiviti perjudian tiada langsung manfaat dan kebaikan kepada rakyat tambahan pula menjadikan masalah hutang piutang di kalangan rakyat kian membebankan, memporak peranda institusi keluarga dan masyarakat.

YADIM menyakini bahawa keputusan ini turut diterima dan disambut oleh seluruh rakyat khasnya umat Islam dan penganut agama lain amnya bahawa aktiviti perjudian sememangnya amat tidak berfaedah dan tiada mana-mana agama yang mengizinkannya.

Begitu juga Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk menghadkan penjualan minuman keras di kawasan terbuka dan juga di tempat-tempat yang tiada keperluan penjualan di seluruh negeri.

Keputusan ini sekaligus bersifat Saddu Zaraie’ atau pencegahan sebelum berlaku keburukan yang ia menepati Maqasid Syariah bagi memelihara harta dan akal manusia daripada kerosakan dan kebinasaan.

YADIM yakin bahawa usaha dakwah dan pembinaan kefahaman agama Islam secara berterusan oleh para pendakwah, para guru agama dan juga badan-badan dakwah yang pelbagai telah menjadikan keputusan ini disambut baik oleh seluruh rakyat khasnya di negeri Kedah dan Malaysia amnya.

YADIM mendoakan semoga Allah S.W.T melimpahkan rahmat ke atas seluruh rakyat Negeri Kedah melalui keputusan ini dan dikurniakan keberkatan dari sisiNya.

Malah YADIM mengharapkan usaha murni ini layak dicontohi oleh negeri-negeri lain yang belum lagi menamat lesen premis perjudian yang pastinya judi itu meruntuhkan peradaban.

Melestari Gerakan Dakwah

USTAZ NASRUDIN HASSAN
Yang DiPertua 
Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -