Kayakan rakyat dengan ilmu, akhlak dan harta

- Advertisement -

SIFAT manusia seluruhnya hampir sama. Mahu menjadi orang hebat, berkuasa, kaya dan mewah. Umumnya itulah kehendak kita.

Banyak kata putus dan pembuatan polisi datang daripada pihak kerajaan yang berkuasa. Penguasa bukan perampas atau ‘penyapu’ semua yang di depan mata.

Asasnya, kerajaan mesti sediakan kemudahan supaya rakyat menjadi insan berilmu. Ilmu yang benar supaya rakyat menjadi baik, kenal pencipta, mampu membangun negara dan menyusun hidup untuk keluarga.

- Advertisement -

Ilmu yang baik dan benar sangat penting. Kita tidak mahu orang berilmu tetapi tiada nilai kebaikan. Belajar tinggi tetapi melakukan rasuah dan salah guna kuasa. 

Akar kepada masalah seumpama itu mesti digali dan dicari. Ilmu mesti disandarkan dengan nilai kebaikan dan pembersihan hati serta kepatuhan kepada Tuhan.

Rakyat juga mesti dididik supaya berakhlak mulia. Siaran media sama ada tradisional atau moden mesti menyajikan rancangan untuk kebaikan. Nilai murni dan budaya berakhlak wajib menjadi keutamaan.

Semua yang memegang kuasa penyiaran, jangan leka. Anda semua adalah pendidik masyarakat. Penetapan minda (mind set) masyarakat perlu dibimbing dengan kebaikan dan nilai ketuhanan. Jangan sesekali biarkan agenda dan budaya luar meresapi rakyat kita.

Akhirnya, rakyat mesti dikayakan dengan harta. Mereka yang berkuasa mesti menjadikan agenda memberi kekayaan kepada rakyat. Siapkan kemudahan dan apa sahaja infrastruktur supaya rakyat maju dari segi ekonomi. 

Jangan sesekali penguasa merampas segalanya. Penguasa kaya raya. Rakyat jelata hidup merana. Penguasa hidup mewah dengan rumah mewah dan kereta tetapi rakyat hidup susah dan tiada kerja. 

Jika rakyat perlu jalan raya wajib sediakan. Air, elektrik dan apa sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan dan penguasa. Ingat, tugas kerajaan kayakan rakyat dengan ilmu, akhlak dan harta!

YB DR. ALIAKBAR GULASAN 
Setiausaha PAS Negeri Sabah
12 November 2021 – HARAKAHDAILY 12/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/378832610589189/posts/408168477655602

- Advertisement -