Teladani akhlak dan cara hidup Rasulullah SAW

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Umat Islam diseru agar menteladani akhlak dan cara hidup Rasulullah SAW serta sunnah baginda.

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehudin Almarhum Sultan Badlishah bertitah, Nabi Muhammad SAW bukan sahaja membawa rahmat kesekelian alam malah menjadi teladan kepada seluruh manusia.

“Mengamalkan amalan sunnahnya, akan mendatangkan kesempurnaan dalam hidup. Ini kerana, ia adalah bersifat komprehensif, memiliki keseimbangan dan bersifat realiti dan meraikan segala yang berkaitan dengan manusia.

- Advertisement -

“Sesungguhnya, setiap perkara yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW itu  kekal relevan (sesuai) pada setiap zaman dan keadaan,” titah baginda sempena Sambutan Maulidur Rasul 1443H Peringkat Negeri Kedah secara atas talian, di sini hari ini.

Tema kali ini iaitu ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ kata baginda membawa mesej penting serta merumuskan pengertian menjadikan umat Islam sentiasa meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dalam segala perancangan, tindakan, pelaksanaan demi mencapai matlamat hidup.

Malah tegas baginda, manifestasi Rabbani, membentuk ummah berkualiti dengan minda kelas pertama iaitu berpengetahuan, berdaya saing, bermoral, berintegriti, dan berbudaya kerja cemerlang.

“Sambutan Maulidur Rasul ini juga merupakan satu usaha untuk memupuk rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW kerana baginda juga amat mencintai dan mengasihi umatnya,” titah baginda lagi.

Misalnya, titah baginda, ketika Pandemik Covid-19 merebak ke seluruh dunia, terdapat kaedah-kaedah pencegahan untuk menangani penularan wabak ini yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW.

Virus Corona, jelas baginda adalah sejenis wabak yang berjangkit dan langkah serta kaedah pencegahannya perlulah selari dengan ajaran baginda (Nabi Muhammad SAW) melalui tindakan pakar-pakar yang berautoriti.

Ekoran itu amalan kuarantin juga merupakan adaptasi daripada hadis yang diriwayat Al-Bukhari, bermaksud: “Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah kamu masuk ke kawasan tersebut dan jika kamu berada di kawasan tersebut, janganlah kamu keluar dari situ”.

“Orang yang sentiasa mengamalkan kehidupan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW dan mengamati sirahnya,  akan sentiasa terpandu ke arah kebaikan dan kesempurnaan kehidupan.

“Oleh itu demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan berterusan sepanjang masa, Beta menitahkan kepada seluruh rakyat jelata, agar sentiasa berkerjasama mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Strategi untuk peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik ini akan mengukuhkan perpaduan sesama kita dan secara tidak langsung membudayakan nilai-nilai murni selaras dengan akhlak terpuji serta ajaran Nabi Muhammad SAW,” tambah baginda.

Pada majlis itu, Tuanku Sultan Kedah telah berkenan menganugerahkan Tokoh Utama Maulidur Rasul 1443H Peringkat Negeri Kedah kepada Mohd Zaki Husin.

Manakala beberapa Anugerah Khas khususnya kepada para petugas barisan hadapan serta individu suri teladan juga diadakan. – HARAKAHDAILY 19/10/2021

- Advertisement -