AMAL Bukit Gantang terima anugerah dari KKM

Sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2021 Peringkat Negeri Perak

- Advertisement -

TAIPING: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Bukit Gantang telah menerima anugerah Penganjur Program Derma Darah Aktif sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2020 Peringkat Negeri Perak di Hospital Taiping, di sini semalam.

Anugerah yang merupakan pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap inisiatif proaktif menggerakkan kempen derma darah itu disampaikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dato’ Dr Ding Lay Ming.

- Advertisement -

Komandan AMAL Bukit Gantang, Mohd Rizwan Basheer yang mewakili pasukannya menerima anugerah tersebut merakamkan penghargaan kepada KKM atas pengiktirafan itu dan para penderma darah yang menjayakan usaha mereka.

“Kami berharap agar kempen seumpama dapat dijayakan secara berkala pada setiap bulan. Kerjasama erat Jabatan Amal dan KKM khususnya Hospital Taiping telah membuka ruang meningkatkan jumlah penderma, khususnya penderma baharu,” ujarnya.

Beliau juga berharap usaha dijayakan pihaknya itu akan meningkatkan lagi kesedaran masyarakat untuk menderma bagi menampung keperluan Tabung Darah Negara di unit tersebut atau hospital seluruh Malaysia.

Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Rahim Ismail dalam pada itu turut berkongsi rasa gembira dan merakamkan ucapan tahniah kepada AMAL Bukit Gantang atas penerimaan anugerah yang mengiktiraf usaha pasukan uniform meroon itu.

“AMAL Bukit Gantang bukan sahaja aktif menjayakan program dalaman parti, tetapi mereka telah memperbagaikan bentuk sumbangan khidmat masyarakat sesuai dengan suasana semasa dan keperluan awam.

“Saya gembira serta berbesar hati dengan pencapaian AMAL Bukit Gantang dan berharap mereka dapat menarik lebih ramai anak-anak muda untuk menyertai badan amal ini,” ujar beliau.

Pasukan ini selain merekodkan penganjuran aktif kempen tersebut dengan pertambahan 50 penderma baharu, turut menjayakan operasi sanitasi premis awam dan mengurus jenazah mangsa COVID-19 serta sumbangan kepada golongan B40. – HARAKAHDAILY 10/11/2021

- Advertisement -