Masyarakat India terima perhatian PAS Teluk Intan

- Advertisement -

TELUK INTAN: Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Kawasan Teluk Intan dan LPN Muslimat PAS Teluk Intan telah mengadakan ziarah dan sumbangan kebajikan kepada masyarakat kaum India di Taman Desa Aman, Batu 6, di sini kelmarin dahulu.

Inisiatif ini bertujuan membantu meringankan beban kalangan keluarga penerima terdiri daripada golongan miskin dan terjejas atau hilang pendapatan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lalu.

- Advertisement -

Pengerusi LPN PAS Teluk Intan, Mutiaton Said Falah berkata, keprihatinan PAS itu adalah kepada semua anggota masyarakat yang disantuni tanpa mengira latar belakang parti, agama mahupun kaum.

“(Malah) PAS khususnya di kawasan Teluk Intan ini juga amat prihatin terhadap golongan yang daif, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

“(Melalui) program ini, diharap dapat mengubah perspektif masyarakat India terhadap PAS dan mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat setempat,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Teluk Intan.

Pengerusi LPN Muslimat PAS Teluk Intan, Nor Asiah Ahmad pula berkata, pihaknya sentiasa mengikuti rapat hal kebajikan masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Adalah diharapkan sumbangan kecil ini dapat meringankan beban mereka untuk persiapan sambutan perayaan Deepavali,” ujarnya. 

Pimpinan PAS Teluk Intan yang turut hadir adalah Timbalan Yang Dipertua PAS, Rostam Malik dan Ketua Muslimat, Robi’atun Mohd Abas serta Ketua PAS Cawangan Desa Aman, Mat Zain Bostami. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -