Dua usul diterima sebulat suara selepas dibentang

- Advertisement -

KUALA NERUS: Muktamar Tahunan PAS ke-67 menerima sebulat suara dua usul daripada PAS Pusat dan PAS Kawasan Titiwangsa selepas dibentangkan.

Usul daripada PAS Pusat berhubung mengangkat Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS2051) sebagai visi pembangunan kerajaan Malaysia adalah satu kerangka pembangunan dan pentadbiran negara yang diperkenalkan oleh PAS berdasarkan prinsip Islam yang syumul.

Usul itu dibentangkan oleh wakil PAS Pusat, Dr Rosni Adam dan disokong oleh wakil Dewan Muslimat PAS Malaysia, Nurhafizah Fadzil.

Sementara usul daripada PAS Kawasan Titiwangsa mengenai pembahagian dana yang adil kepada parti politik dan mengubal akta dana politik dibentangkan oleh wakil PAS kawasan, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz yang disokong oleh wakil Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudin.

- Advertisement -

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Usul, Kamaruzaman Mohamad memaklumkan dua usul untuk dibahaskan pada muktamar kali ini.

Berikut ialah usul PAS Pusat.

WINS2051 menggariskan tiga fasa iaitu Fasa Satu (2021 – 2030) sebagai Fasa transformasi negara sejahtera, Fasa Dua (2031 – 2040) sebagai Fasa negara sejahtera negara model dan Fasa Ketiga (2041 – 2050) sebagai Fasa Malaysia memimpin dan menjadi negara Islam contoh di peringkat global. 

WINS2051 telah dirangka secara bersama oleh teknokrat-teknorat dan para ulamak PAS sebagai rujukan bagi mencapai matlamat negara yang sejahtera berpandukan

Al-Quran, Al-Hadis, ijmak dan Qias. Tawaran solusi WINS2051 merangkumi sepuluh teras termasuk ekonomi yang diperincikan di dalam Dokumen Hijau.

Bermula dengan mengenalpasti permasalahan utama negara, ia seterusnya menawarkan solusi acuan Islam di dalam isu-isu kontemporari dunia seperti pembinaan insan, integriti dan urustadbir, keadilan sosio-ekonomi dan kelestarian sumber dan alam sekitar. Wawasan ini akhirnya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam syumul dan contoh yang memimpin dunia menjelang 2051.

Dokumen WINS 2051 dilancarkan di FASTAQIM 2.0 pada 29-30 September 2017 oleh Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS, merangkumkan Dokumen Negara Islam & Konsep Negara Berkebajikan.

WINS2051 memfokuskan kepada dua perkara asas, iaitu Sejahtera dan Berkebajikan.

Sejahtera bermaksud negara yang menjamin ketenteraman, kemakmuran & kesenangan, kepada rakyat.

Berkebajikan pula bermaksud pemerintah dan rakyat saling bekerjasama melakukan kebajikan yang disokong oleh sistem yang cekap dan memberi manfaat kepada semua golongan tanpa mengira bangsa dan agama. 

PAS kini sudah menjadi salah sebuah parti komponen yang penting di dalam kerajaan. Kita diberikan tanggungjawab untuk mentadbir negara berdasarkan ruang dan kapasiti untuk menunjukkan kemampuan kita dalam mentadbir negara mengikut prinsip Islam.

Sudah menjadi kewajipan kita untuk menjadikan agenda pengisian Islam, yang membawa konsep Sejahtera dan Berkebajikan seperti yang digariskan di dalam WINS2051, sebagai salah satu agenda pembangunan jangka masa panjang. Ini amat penting bagi PAS  untuk menterjemahkan keindahan dan kesyumulan Islam di dalam pemerintahan.

Menyedari peri pentingnya perkara di atas, maka Muktamar Tahunan PAS Kali ke-67 yang bersidang di Duyung & Marina Resort, Kuala Terengganu, Terengganu pada 6 November 2021 bersamaan  1 Rabiul Akhir 1443 mengambil ketetapan berikut ::

Mengangkat secara serius, agenda Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS2051)  supaya ianya dijadikan dokumen teras kerajaan dalam mengurus pentadbiran negara ke arah negara maju, sejahtera dan berkebajikan.

Menubuhkan satu badan khas seperti Yayasan atau institut yang boleh memperinci, menggerakkan serta membentuk polisi dan halatuju kerajaan. Ia juga berperanan menjadi badan advokasi kepada kerajaan dan rakyat agar mendokong wawasan ini.

Usul daripada PAS Kawasan Titiwangsa.

Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) telah berlalu namun ada satu dimensi tentang proses pilihan raya yang kritikal yang tidak mendapat perhatian sewajarnya. Isunya ialah pembiayaan dana parti politik semasa PRU14.

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 melarang amalan rasuah semasa kempen pilihanraya serta menetapkan had perbelanjaan kempen bagi setiap calon, RM200,000 bagi kerusi parlimen dan RM100,000 bagi kerusi negeri. Bagaimanapun akta berkenaan tidak meliputi perbelanjaan oleh parti politik sebagai sebuah entiti. Di dalam Akta Pertubuhan 1960, parti politik dikehendaki menyerahkan penyata kewangan yang telah diaudit kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS). Namun demikian mereka tidak perlu mendedahkan sumber sumbangan yang diterimanya sekaligus menunjukkan tiada ketelusan.

Di Malaysia, parti politik dibenarkan untuk terlibat di dalam perniagaan.

Sebagai contoh Umno terlibat dengan Renong dan Utusan Melayu. Oleh yang demikian, sukar untuk memastikan dana politik dan politik wang tidak bertindan antara satu sama lain.

Suatu Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik pernah dibentang pada Ogos 2016 oleh Jawatankuasa Perundingan Pembiyaan Politik. Akta ini bertujuan untuk memperkenalkan seorang Pengawal yang telus dalam memantau semua sumbangan dan perbelanjaan parti politik. Malang sekali ia mendapat tentangan daripada Pakatan Harapan (PH)

Melihat kepada situasi yang runcing ini, PAS Kawasan Titiwangsa ingin mengusulkan solusi seperti berikut:

Solusi dan Pendekatan Negara Luar

1)      Pembahagian dan peruntukan dana daripada kerajaan kepada semua parti politik yang berdaftar dibawah ROS kerana jurang dana yang besar antara parti politik kerjaan dan pembangkang. Pendekatan ini sama seperti di Jerman di bawah Akta Parti-parti Politik, setiap parti politik di Jerman berhak menerima dana kerajaan mengikut pecahan tertentu. Ia ditentukan berpandukan beberapa kriteria termasuk jumlah undi yang diperoleh dalam pilihan raya sebelumnya.

2)      Membenarkan Syarikat Korporat menyumbang tetapi perlu isytihar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk pengecualian cukai dan mengekalkan ketelusan. Seperti di Amerika Syarikat, mana-mana syarikat korporat yang ingin menyumbang, tiada sekatan dikenakan terhadap mereka. Bagi memastikan integriti dan keadilan kepada Syarikat berkenaan, suatu akta dana politik perlu digubal untuk mengelak berlaku ‘Conflict of interest’.

3)      Menggubal Akta Dana Politik di Parlimen sebelum PRU 15. Tujuan akta ini adalah untuk mengawal selia dana parti politik seperti yang dicadangkan di atas untuk mengekalkan ketulusan (transparensi) dan melindungi syarikat serta parti politik dari menjadi alat antara satu sama lain. Akta ini juga bertujuan menyekat organisasi dan syarikat serta individu yang mempunyai agenda persendirian menyediakan dana rahsia yang besar kepada parti-parti politik serta mengharapkan sesuatu sebagai balasan. Akta yang sedia ada tidak cukup kuat untuk mengekang rasuah dan politik wang oleh parti politik menurut dapatan daripada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dalam sebuah jurnal pada tahun 2020.

Maka Muktamar PAS Pusat Kali ke-67 yang bersidang di Duyung Marina & Resort Kuala Terengganu, Terengganu pada 6 November 2021 bersamaan 1 Rabiul Akhir 1443 ingin mengusulkan kepada kerajaan untuk mengambil ketetapan berikut:

Pembahagian dan peruntukan dana daripada kerajaan kepada semua parti politik.

Membenarkan Syarikat korporat menyumbang tetapi perlu isytihar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri

Menggubal akta dana politik di Parlimen sebelum Pilihanraya Umum ke-15. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -