PAS dan NGO rai kaum India menjelang Deepavali

- Advertisement -

TAMBUN: Pimpinan PAS Kawasan Tambun telah menyantuni masyarakat kaum India beragama Hindu sempena menjelangnya perayaan Deepavali dengan kerjasama PAS Cawangan-cawangan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Kunjungan dan serahan sumbangan kebajikan yang diadakan menjadi usaha memupuk perpaduan hubungan antara kaum serta keprihatinan dalam memenuhi keperluan masyarakat India bagi meraikan perayaan mereka.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Tambun, Ustaz Salleh Said yang juga Penyelia Pusat Khidmat PAS DUN Hulu Kinta sendiri turun memimpin inisiatif dilaksanakan tersebut bersama para pimpinan PAS Cawangan Kampung Tersusun Batu 5, di sini semalam.

Bersama beliau adalah Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu 5, Eddy Noor Abd Manan dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kampung Tersusun Batu 5, Abd Aziz Wan.

Puji Ustaz Salleh, usaha dilaksanakan itu menjadi sebahagian untuk memperkenalkan PAS kepada masyarakat pelbagai kaum dan bertepatan peranan PAS menerusi dakwah, tarbiyah dan siyasah serta terkehadapan dalam kebajikan masyarakat.

“Dalam aktiviti kebajikan kali ini, kita sampaikan bantuan kotak prihatin yang terkandung di dalamnya barangan keperluan makanan asas seperti beras, minyak masak dan lain-lain lagi. 

“Alhamdulillah. Saya dan Jawatankuasa PAS Cawangan juga sempat menyantuni dan bertanya khabar tentang persiapan mereka dalam menyambut Hari Deepavali,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ustaz Salleh turut menyeru seluruh ahli PAS khususnya Jawatankuasa PAS di peringkat Cawangan-cawangan agar terus komited menggerakkan program kebajikan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Rakyat Kinta Perak, Ustaz Hafez Sabri menyampaikan barangan keperluan harian kepada penduduk kaum India di Kampung Dato’ Ahmad Said 2 (KDAS 2) dan Jelapang Jaya.

Majlis yang turut mendapat kerjasama Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (Gugusan Manjoi), Syed Mohd Nor Hisam dan Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang telah dilangsungkan di di Econsave Jelapang, di sini.

Ustaz Hafez berkata, program menyantuni kaum India di sekitar kawasan itu merupakan usaha menunaikan tanggungjawab dan rutin saban waktu pertubuhan itu sendiri dalam usaha menjaga kebajikan masyarakat. 

Bukan itu sahaja, malah pihaknya juga akan meneruskan inisiatif membantu masyarakat ini dan mempergiatkan kerjasama dengan pelbagai pihak agar manfaatnya dapat dikecapi oleh lebih ramai golongan yang memerlukan. 

“Sumbangan ini adalah merupakan keprihatinan (pihak) kami kepada mereka (kaum India) yang akan menyambut Hari Deepavali khsusnya kepada golongan keluarga berpendapatan rendah. 

“Alhamdulillah, kita mendapat kerjasama baik (dari) banyak pihak. Sekalung penghargaan buat MBI, Econsave dan JPKK yang terlibat. Moga-moga bantuan ini bermanfaat kepada masyarakat,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Tambun

Hadir sama dalam program itu, Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman dan Pengerusi JPKK KDAS 2 & Jelapang Jaya, Ishak Ahmad Sani. – HARAKAHDAILY 5/11/2021

- Advertisement -