UMK tersenarai universiti terbaik di Asia

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tersenarai antara universiti terbaik di Asia apabila berada di kedudukan 551-600 dalam QS World University Rankings: Asia 2022.

Senarai kedudukan itu diterbitkan oleh Quacqualrelli Symonds (QS).

- Advertisement -

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata, pencapaian itu meletakkan UMK di atas landasan yang tepat bagi menyediakan universiti berkualiti, melahirkan graduan kompeten dan menepati kehendak industri.

Katanya pencapaian itu menunjukkan peningkatan dari top 85 kepada 81 peratus berbanding tahun 2021.

“Merujuk kepada pencapaian dalam QS World University Rankings: Asia 2022, UMK dinilai bagi staf di peringkat antarabangsa di ranking 196.

“Bagi penilaian staf dengan PhD pula berada pada kedudukan 268 di Asia. Pencapaian itu membuktikan UMK mempunyai staf yang kompeten dalam pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan berimpak,” katanya pada satu kenyataan semalam.

Menurutnya juga UMK sentiasa memberi fokus kepada pelbagai aspek sains, teknologi dan juga keusahawanan selaras dengan tanggungjawab Universiti Untuk Masyarakat.

Beliau berkata, pencapaian itu menjadikan UMK sebagai sebuah institusi pilihan untuk melanjutkan pengajian terutamanya bagi pelajar antarabangsa dan sebagai penanda aras bagi UMK mengkaji serta memperbaiki pencapaian dari pelbagai perspektif.

“Selain itu, UMK akan terus bergerak maju sebagai pemain global bagi mencapai misi dan visi yang ditetapkan serta berada pada landasan terbaik sebagai universiti berfokus dalam memperkasa bidang keusahawanan di negara ini.

“UMK akan terus meningkatkan prestasi dan amalan terbaik bagi memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam ekosistem teknologi dan keusahawanan,” katanya.

Prof Arham juga berkata, pencapaian tersebut bukti kejayaan ekosistem RICE yang yang diperkenalkan pada 2019 merangkumi aspek penyelidikan, inovasi, pengkomersialan dan juga keusahawanan.

Ujarnya, UMK akan meneruskan pelbagai inisiatif dengan memberikan fokus kepada kualiti dan impak penyelidikan dalam bidang tujahan utama melalui kolaborasi strategik.

Penilaian QS World University Rankings: Asia 2022 dibuat berdasarkan reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar kepada fakulti, staf memiliki PhD, nisbah sitatsi artikel, jaringan penyelidikan antarabangsa, staf akademik antarabangsa, pelajar antarabangsa, dan pelajar pertukaran inbound serta outbound. – HARAKAHDAILY 5/11/2021

- Advertisement -