Guna logo PN pada PRN15: PAS perlu giat promosi

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH: Jentera pilihan raya PAS perlu menggiatkan usaha untuk mempromosikan atau memaklumkan ahli dan penyokong parti bahawa PAS akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 (PRN15) di Melaka  yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada mereka ketika membuang undi nanti.

- Advertisement -

“Selama ini, kita guna logo PAS dalam hampir kesemua pilihan raya. Tapi pada kali ini kita berada dalam gabungan rasmi PN. Dan pimpinan pun dah putus untuk guna logo PN ni.

“Jadi, jentera (pilihan raya) kita kena pastikan, terutama kepada ahli-ahli kita,  juga penyokong-penyokong tegar kita yang selama ini mengundi kita, perlu diberi maklumat bahawa kita akan menggunakan logo PN untuk calon-calon kita.

“Takut-takut nanti ada yang ingat PAS tak hantar calon pula. Kita hantar calon. Sebahagian daripada calon PN itu adalah calon daripada PAS. Mereka perlu faham (fakta) tu,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Jawatankuasa PAS Pusat pada 1 Nov lepas  telah membuat ketetapan bahawa semua calon parti ini di dalam PRN15 di Melaka akan menggunakan logo PN selepas mendapat persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak yang telah bermesyuarat sebelum itu 

Ustaz Imran yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah menambah, langkah menggunakan logo PN adalah satu langkah yang sangat baik bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa gabungan ini berada dalam kesatuan yang jitu.

“Kita ada PAS, ada Bersatu, malah kita ada parti Gerakan yang majoriti ahlinya daripada kaum Cina. Ini menunjukkan bahawa kita bersifat inklusif.

“Kita mewakili rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan mahu membela seluruh rakyat tanpa mengira kaum,” ujarnya.

Beliau turut yakin bahawa rakyat akan menolak Pakatan Harapan (PH) pada kali ini jika melihat kepada masalah yang timbul sepanjang mereka berkuasa.

“Kalau kita ingat lagi di Melaka ni, ketika PH memerintah mereka tak dapat selesai masalah putus bekalan air. Dengan pelbagai alasan.

“Tapi sebaik sahaja PN mengambil alih Kerajaan Negeri Melaka pada awal tahun lepas kita berjaya selesaikan. Apa lagi yang PH nak jadikan modal pilihan raya? Merekalah sebenarnya kerajaan yang gagal,” ujarnya.

PRN ini diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang diwartakan pada 5 Oktober lepas akibat daripada krisis politik yang berlaku di negeri ini.

Krisis bermula apabila empat Ahli DUN kerajaan diketuai Datuk Seri Utama Idris Haron mengumumkan menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam satu sidang media pada 4 Oktober lepas.

Rakyat Melaka bakal membuang undi pada 20 November depan dengan kempen yang berlangsung dengan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selepas selesai proses penamaan calon pada 8 November nanti. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -