Tuan Ibrahim ketuai delegasi Malaysia ke COP62

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man akan mengetuai delegasi Malaysia di Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26), di Glasgow, UK.

- Advertisement -

Beliau akan menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi dan akan menyampaikan Kenyataan Negara pada Selasa dan Rabu ini.

Perkara itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri pada Rabu dan dimaklumkan melalui satu kenyataan media Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), hari ini.

“Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya Malaysia menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah (Glasgow Leaders’ Declaration on Forest and Land Use) dan Ikrar Metana Global (Global Methane Pledge) bagi menunjukkan komitmen dan usaha progresif negara untuk melaksanakan tindakan perubahan iklim yang akan menyumbang kepada matlamat global.

“Kedua-dua ikrar dan deklarasi ini telah dilancarkan di UNFCCC COP-26 yang kini sedang berlangsung di Glasgow, Scotland bermula pada 31 Oktober hingga 12 November 2021,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah bertujuan memperkukuhkan komitmen negara-negara terhadap penggunaan tanah, pemuliharaan dan pengurusan hutan serta ekosistem yang lain secara mampan.

Katanya lagi, penyertaan Malaysia bersama 131 negara lain dalam deklarasi ini selaras dengan komitmen negara untuk terus mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan
pokok.

“Malaysia juga akan menyertai 103 negara lain dalam Ikrar Metana Global. Matlamat ikrar ini adalah bagi mendapatkan komitmen dan persetujuan bersama untuk mengurangkan pelepasan metana global sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus menjelang 2030 berbanding tahapnya pada 2020.

“Negara yang menandatangani ikrar ini akan beralih kepada penggunaan metodologi inventori terbaik untuk mengukur pelepasan metana, dengan memberi tumpuan kepada sumber utama pelepasan metana,” katanya.

Tambahnya, pelepasan gas metana menyumbang sebanyak 17 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah kaca negara, iaitu 316.83 juta tan karbon dioksida setara pada tahun 2016.

Justeru itu, KASA akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan khususnya Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan KPKT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kerajaan Negeri bagi memastikan pelaksanaan tindakan yang inklusif dan holistik.

“Malaysia sentiasa komited untuk bersama dengan negara ahli kepada Perjanjian Paris dalam usaha mengekalkan purata peningkatan suhu global abad ini supaya tidak melebihi 2 darjah Celcius, meneruskan tindakan mitigasi untuk menghadkan suhu supaya tidak melebihi 1.5 darjah Celcius serta mengurangkan kerentanan terhadap kesan perubahan iklim,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2021

- Advertisement -