RM10 juta bantu AKSB agih air penduduk terjejas

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan menghantar bekalan air kepada penduduk yang terjejas ekoran masalah tekanan rendah yang dihadapi pengguna di Kelantan.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, peruntukan sebanyak RM10 juta dilulus kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi menyediakan tangki statik dan menyewa lori.

Katanya, lori tersebut menghantar bekalan air kepada penduduk yang mengadapi masalah tersebut.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri membantu AKSB bagi mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi pengguna di lokasi tertentu, ia sebagai langkah sementara.

“Sepatutnya sebagai sebuah syarikat swasta AKSB sepatutnya membayar pada kadar tertentu kepada kerajaan negeri kerana menggunakan sumber air.

“Namun kita tahu AKSB belum mampu lagi, jadi kerajaan negeri mengambil langkah membantu syarikat itu bagi menyediakan bekalan air kepada pengguna,” katanya kuliah mingguan secara online di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan har ini.

Masalah bekalan air di Kelantan mengambil masa untuk diatasi memandangkan sebelum 2003 terpaksa berusaha sendiri selepas tidak mendapat bantuan kerajaan Persekutuan.

Hanya pada 2003 kerajaan pusat meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM600 juta bagi meningkatkan prasarana bekalan air di Kelantan.

Menteri Besar juga berkata, sehingga sekarang AKSB menukar paip lama sepanjang 106 kilometer di seluruh Kelantan bagi memastikan bekalan air kepada penduduk tidak terjejas.

Selain itu katanya kerajaan negeri berusaha mengurangkan kadar kehilangan air (NRW) sebelum sampai kepada pengguna.

“Pengurusan Aset Air Bhd juga bersetuju untuk membiayai pembinaan sebuah loji rawatan air di Semerak, Pasir Puteh bagi mengatasi masalah tersebut di sekitar kawasan berkenaan.

“AKSB akan mengenal pasti tapak yang sesuai untuk pembinaan loji tersebut yang dijangka mampu mengeluarkan air sehingga 300 juta liter padu sehari apabila beroperasi kelak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/11/2021

- Advertisement -