Lontaran Ir Khairil wajar disambut anak muda PAS

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

- Advertisement -

PADA SUATU malam dengan hujan merintik, kadang melebat menampar bumbung kenderaan yang cuba mencari parkir untuk menyertai ceramah perdana di Markas Tarbiah PAS Pusat Taman Melewar, aku melihat kelibat seorang anak muda berpakaian Amal.

Anak muda berkaca mata dengan baju hujan nipis melambai-lambai dengan menggunakan lampu mudah kalih ke arah pemandu-pemandu kereta yang mencari ruang parkir.

Itulah masalah terbesar dalam dekad 90an dan awal milineal jika ceramah perdana dibuat di Taman Melewar, anggota Unit Amal yang akan menjadi bahan belasahan jika tuan rumah terhadang untuk keluar jika ada kecemasan.

Aku melihat dengan penuh minat pada sosok anak muda berbaju Amal, kurus, penuh dedikasi dalam tugasan dan menyelidik latarbelakang anak muda itu.

Alumni UTP yang juga mempunyai jaringan kuat dalam pemuda kawasan Gombak, Pandan dan pastilah ahli baiah yang piawai untuk dicampak apa tugasan sekali pun.

Karektor suka berkawan, tahan bergurau, tak bakhil, lumayan idea, suka membaca ayat-ayat suci walau sesibuk mana sekali pun memikat aku untuk mengajak anak muda ini untuk bersama Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan memang sejak daripada awal keberadaannya menjadi tempat transit pimpinan kampus serta menjadi platform untuk mengasah kemahiran berorganisasi, menyesuaikan diri dalam Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan serta kawasan-kawasan.

Antara alumni kampus paling ramai seperti alumni Universiti Malaya, UPM, UKM, UTP, UITM, UIAM, UTM, juga lulusan luar negara seperti alumni Jordan, Mesir, Syria, United Kingdom dan sebagainya.

Khairil Nizam seperti anak muda lain dalam pemuda PAS Wilayah Persekutuan, diberi amanah untuk menggerakkan Lujnah, terlibat dengan demonstrasi menggalang pelbagai isu umat Islam dan juga tugasan perkaderan Dakwah.

Anak muda kail sejengkal ini pada awal penglibatannya dalam Kepimpinan DPPWP juga sering juga membawaku kepelbagai lokasi ceramah.

Mengenang pengalaman lalu memang indah dan juga melambangkan proses penuaan sedang berlangsung, menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga bermakna kita akan menjadi sasaran pihak Cawangan Khas Polis, terutama apabila berlakunya bantahan awam di Lembah kelang.

Kondisi yang sama dirasai oleh Ir Khairil Nizam sebagaimana aku rasai selama lapan tahun menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Khairil agak beruntung, apabila memiliki pasukan kerja sekampus yang mapan dan piawai. Apabila terpilih dalam saf Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat, bila juga aktif mencari dana pemuda.

Berlanglangbuana ke merata tempat sehingga ke Eropah bagi mencari dana pemuda PAS, satu pendekatan luar kotak yang beliau lakukan untuk memastikan Dewan Pemuda mempunyai tahap kewangan yang baik.

Dewan Pemuda PAS Pusat menampung Institusi pendidikan seperti PASTI dan SRITI, juga menampung urusan kepejabatan termasuk gaji murabithun.

Menjelang hari lebaran, murabithun Dewan Pemuda PAS Pusat boleh tersenyum menerima sedikit bonus raya hasil gerakerja Ir Khairil Nizam yang energetik.

Bapa kepada sepuluh orang anak ini cakna kepada kawan-kawan, dalam kesibukan menguruskan jemaah serta kerjaya, beliau memberikan perhatian kepada pendidikan anak-anak juga kepada usaha pemberdayaan pendidikannya sendiri.

Dalam kesibukan menguruskan jemaah beliau juga menyambung ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Dan Penyelenggaraan Aset pada tahun 2012-2013. Bakal pemimpin masa depan PAS ini turut mengisi masanya dengan melanjutkan pendidikan diperingkat doktorat.

Ir Khairil terlibat dalam PRU 14 dengan bertanding di Parlimen Gombak, mendapat 17,537 undi namun kalah kepada Dato Azmin Ali daripada PKR.

Beliau dilantik menjadi anggota legislatif selepas pertukaran kuasa di peringkat Persekutuan dan aktif membawa suara anak muda di Dewan Negara.

Khairil bukanlah orator hebat yang membakar semangat anak muda, namun kelebihan beliau adalah menguruskan organisasi pemuda sehingga jurang perbedaan dalam pemuda PAS dapat diminimakan.

Sebelum bersara daripada Dewan Pemuda PAS Pusat, Ir Khairil Nizam melontarkan idea agar para pemuda PAS melakukan usaha mobiliti sosial secara massal dengan melanjutkan pendidikan diperingkat tertiari bagi mengisi kemenangan serta sebagai kaedah pengukuhan organisasi.

Pemimpin adalah pembaca! Menjadi pemimpin ummah mestilah disertakan dengan pakej kompetensi termasuk mempunyai tahap kognitif yang baik dan dihormati oleh masyarakat kerana denai akal yang jernih.

Seorang pemimpin adalah lantera yang menyinari kelam dan suram ummat, dengan ilmu maka sang pemimpin menuntun ahli-ahli agar tak dibadai kegelapan akal.

Dalam Islam syarat teras menjadi pemimpin ialah seorang yang berilmu, maka anak muda pemimpin pelapis wajib disuntik dengan semangat untuk memperkasakan keluasan ufuk berfikir dengan piawaian yang sistematik.

Apabila mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Senator Ir Khairil Nizam meletakkan unjuran agar 3,000 pemuda menjadi pemegang ijazah doktorat menjelang 2030 maka saya melihat ini adalah perancangan yang sangat genius daripada sosok pemimpin anak muda yang cerdas.

Pemimpin Dewan Pemuda PAS Malaysia yang baru dilantik wajar mengoperasikan Ucapan Tema Ir Khairil Nizam dengan lebih berfokus.

Penulis ialah AJK PAS PUSAT Pengerusi LESTARI. – HARAKAHDAILY 5/11/2021

- Advertisement -