Pemaju perlu patuh reka bentuk bangunan warga emas

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pemaju perumahan yang gagal mematuhi reka bentuk bangunan dan komponen kemudahan sokongan yang memenuhi keperluan golongan warga emas.

Golongan lain yang turut diambil kira dalam syarat yang kerajaan tetapkan, termasuk golongan dewasa, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).

- Advertisement -

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh bertindak terhadap pemaju perumahan yang gagal berbuat demikian.

Menurutnya, penekanan terhadap golongan warga emas adalah antara persediaan negara untuk menghadapi status negara tua, iaitu melalui PLANMalaysia yang menyediakan Garis Panduan Perancangan Fizikal Bagi Warga Emas (GP031-A).

Katanya, garis panduan itu menjadi panduan kepada agensi Persekutuan, Pihak Berkuasa Negeri, PBT, agensi awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam merancang, membangunkan dan mereka bentuk penempatan warga emas.

“Garis panduan ini memberi fokus kepada tiga jenis penempatan warga emas, iaitu pusat jagaan, perumahan khas warga emas dan perumahan persendirian. Ini membolehkan perancangan penempatan warga emas dapat disediakan dengan memenuhi kriteria mampu milik, berkomuniti, sihat, selamat, mudah sampai dan mesra pengguna,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang meminta kerajaan menyatakan rancangan pembangunan konsep perumahan mampu milik mesra warga emas sebagai persediaan negara untuk menghadapi status negara tua.

Dari aspek reka bentuk rumah, Dr Ismail berkata, Standard Perumahan Kebangsaan CIS 26:2019 dijadikan asas atau rujukan bagi pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM).

Katanya, keluasan bangunan dan ruang lantai yang mencukupi menjamin penyediaan peralatan dan kelengkapan bagi memastikan fungsi sesuatu reka bentuk dapat digunakan secara optimum.

“Konsep reka bentuk sejagat juga diterapkan dalam reka bentuk RMM yang mengambil kira kaedah penggunaan ruang dan peralatan golongan warga emas dan OKU.

“Selain itu, penyediaan kemudahan dan spesifikasi mesra golongan rentan termasuk warga emas dan OKU dalam suatu projek perumahan turut digariskan dalam Akta Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 yang perlu dipatuhi oleh semua pemaju perumahan,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga merancang untuk melaksanakan kajian dan penggubalan Akta Rumah Persaraan untuk mengawal selia pemaju rumah persaraan dan pewujudan pihak pengurusan yang mengendalikan operasi rumah persaraan, termasuk perkhidmatan penjagaan warga emas di Semenanjung Malaysia.

Katanya, kajian ini akan turut meliputi peruntukan berkaitan pemilikan pajakan, pengusiran, penyelenggaraan, bajet, tribunal termasuk pertikaian dan kontrak, namun pelaksanaan kajian ini tertakluk kepada kelulusan kerajaan. – HARAKAHDAILY 1/11/21

- Advertisement -