2 tahun atasi kenaikan harga bahan binaan selepas pandemik

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Majlis Pemulihan Negara (MPN) menjangka masalah kenaikan harga bahan binaan dan barangan keperluan harian dijangka selesai dalam tempoh dua tahun akan datang selepas pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, minggu lepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) untuk menilai semula pembiayaan kewangan kepada sektor mikro.

“Saya fikir kalau kita boleh selesaikan bersama pihak bank, kita mampu selesaikan hampir 90 peratus masalah ekonomi, selain itu kita juga melihat mengenai peluang pekerjaan kepada rakyat.

- Advertisement -

“Langkah ini dibuat agar kita boleh memperincikan, kita tidak boleh ambil secara rambang, kerana kita sedang berhadapan dengan kenaikan harga bahan binaan dan harga keperluan seperti ayam semuanya naik.

“Jadi ini antara isu yang kita kena lihat dengan lebih spesifik dan secara lebih mendalam, macam mana kita hendak uruskan ekonomi negara dalam tempoh dua tiga tahun ke hadapan selepas pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada rancangan temubual yang disiarkan di laman sosial Facebook, Garasi TV yang dihos Zainal Rashid malam tadi.

MPN ditubuhkan oleh Muhyiddin ketika menerajui pentadbiran negara sebelum diserahkan kepada Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, mempunyai agenda yang panjang memulih ekonomi negara pasca Covid-19.

Katanya juga belanjawan 2021 memperuntukkan sekitar RM500 bilion, di mana RM200 bilion sudah dibelanjakan ketika negara sedang berada dalam krisis ekonomi kerana pandemik Covid-19 menyebabkan semua sektor terjejas.

“Selepas pertukaran Perdana Menteri, satu sahaja yang saya minta iaitu saya teruskan tugas sebagai pengerusi MPN kerana agenda ini masih panjang dan belum dapat kita selesaikan yang melibatkan semua sektor terjejas.

“Belanjawan RM530 bilion merupakan satu perkara yang perlu diberikan perhatian bagi menyambung apa yang saya mulakan dahulu agar dapat dilaksanakan, semua pihak terjejas memerlukan bantuan kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/10/2021

- Advertisement -