Malaysia iktiraf usaha WHO maksimumkan potensi perubatan tradisional

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia mengiktiraf usaha Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaksimumkan dan mengangkat profesion Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata antara banyak pengajaran yang diperoleh daripada pandemik yang berlaku sekarang ialah kepelbagaian aspek dalam kesejahteraan.

- Advertisement -

“Dari segi perubatan tradisional, penduduk Malaysia yang pelbagai dengan masing-masing daripada tamadun besar Asia memberikan kita banyak peluang untuk memanfaatkan kekayaan ilmu dan amalan dari dunia Melayu, Cina, India dan Islam, di samping komuniti Orang Asli kami.

“PT&K memberi sumbangan penting, terutamanya apabila semakin ramai mengambil berat tentang kesihatan mereka,” katanya dalam nota intervensi yang disampaikan ketika Mesyuarat Jawatankuasa Serantau bagi Pasifik Barat (WPRCM) ke-72 di Himeji, Jepun yang bermula Isnin lepas.

Sementara itu, dari segi kebolehdapatan dan kemampuan, beliau berkata Malaysia akan terus mengintegrasikan perkhidmatan perubatan tersebut di semua peringkat sistem penyediaan kesihatan, serta memastikan pembangunan PT&K dan amalannya berpandukan kepada dasar negara dan peraturan yang dikuatkuasakan bagi memastikan kualiti serta keselamatannya.

Katanya, pendaftaran awal bagi pengamal PT&K di peringkat nasional telah dimulakan sejak awal Mac lepas dan berterusan hingga kini.

“Malaysia sentiasa menjadi negara yang berminat dengan usaha WHO membangunkan dan mengembangkan PT&K sama ada peringkat tempatan mahupun rentas sempadan, selain ia akan terus memainkan peranan penting serta menyokong dan mengalu-alukan pelaksanaan Rangka Kerja Serantau bagi memanfaatkan PT&K di Pasifik Barat,” kata Khairy. – BERNAMA

- Advertisement -