PAS cadang debat di televisyen ganti kempen fizikal

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH: PAS Melaka tidak setuju pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Kita tidak bersetuju dengan SOP baharu yang terlalu ketat. Namun jika ini tetap berlaku, kalau bolehlah, parti-parti yang bertanding itu, oleh kerana kita tidak boleh melakukan kempen rumah ke rumah, saya menyarankan agar diberi peluang menggunakan media elektronik kerajaan untuk melakukan kempen secara berakhlak berhemah dan terbuka,” kata Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin

Bagaimanapun beliau berkata, parti-parti yang bertanding wajar kaedah alternatif selepas tidak boleh lagi melakukan kempen rumah ke rumah.

Katanya PAS menyarankan supaya diberi peluang menggunakan media elektronik kerajaan untuk melakukan kempen secara berakhlak berhemah dan terbuka.

Advertisement

“Pihak berkuasa boleh mencontohi Indonesia membenarkan media-media milik kerajaan iaitu televisyen dan radio bagi menganjur debat terbuka bagi semua parti politik.

“Kalau diberi kebenaran bersiaran secara rasmi di media-media elektronik, jadi kita nampak sikap keterbukaan dan demokrasi dalam usaha kita menyampaikan maklumat yang betul,” kata beliau di sini.

Pada Ahad lepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang mulai 25 Oktober hingga 27 November ini.

Bakri yang juga Yang Dipertua PAS Tangga Batu berkata, sekiranya perkara itu dapat direalisasikan, parti-parti politik tidak akan melakukan kempen secara tidak sihat.

“Ini sebenarnya sesuatu yang sangat baik supaya rakyat dapat menilai kewibawaan parti-parti yang bertanding untuk mereka menyampaikan hala tuju kepada rakyat.

“Saya rasa kita harus melangkah ke depan dalam usaha kita menjamin kebebasan bersuara dan memberi pendapat,” ujar beliau ketika dihubungi.

Menurutnya juga walaupun penggunaan media sosial sangat berkesan, namun ia kurang sesuai untuk warga tua yang gemar menonton televisyen atau mendengar radio.

“Pada dasarnya SOP memang baik untuk menjaga penularan wabak Covid-19. Walaupun kita dah ambil vaksin dua dos lengkap tetapi ia hanya untuk melindungi diri kita.

“Tapi itu tak bermakna orang lain boleh terlindungi, kerana bila kita melakukan kempen dari rumah ke rumah ni kadang-kadang di rumah itu ada orang tua, ada anak-anak kecil. Jadi mereka golongan yang sangat terdedah kepada penularan Covid-19 ini,” ujarnya.

Beliau juga berkata, senario PRN di Melaka dan di Sabah berbeza kerana di Sabah ketika itu belum ada lagi proses vaksinasi.

Oleh itu beliau berharap agar semua parti yang terlibat mematuhi SOP seperti yang ditetapkan kerajaan.

“Kita juga berharap bahawa SOP ketat dipatuhi semua pihak. Kita tidak mahu lagi seperti apa yang berlaku di Sabah selepas berlaku PRN tiba-tiba Covid-19 meledak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/10/2021