Malaysia komited tangani isu perubahan iklim, pulihara sumber Antartika

Sultan Mizan Zainal Abidin.
- Advertisement -

SHAH ALAM: Malaysia bukan sahaja komited untuk menangani isu perubahan iklim dan pemuliharaan sumber Antartika malah terus aktif dalam penyelidikan sains dan urus tadbir benua tersebut.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang bertitah sempena majlis perasmian Malaysian International Seminar on Antarctica kali ke-9 (MISA9) memberitahu bahawa Malaysia juga terkesan dengan perubahan iklim dan sedang mengalami merasai kesan dari tren pemanasan ini sejak dekad yang lepas.

- Advertisement -

Menurut Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) dalam Laporan Penilaian Keenam yang dikeluarkan pada tahun ini melaporkan bumi terus memanas dan Wilayah Polar akan kehilangan fungsi utama untuk mengimbangi iklim dunia dan mempercepatkan pencairan ais di Wilayah Polar. 

“Fenomena ini diramalkan akan berterusan dan berlaku dengan pantas setiap tahun,” titah baginda yang juga Penaung Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) pada majlis diadakan secara dalam talian, dihoskan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini.

MISA9 mengumpulkan lebih 300 peserta dan jemputan terdiri daripada wakil Kementerian dan agensi kerajaan, duta negara dan wakil kedutaan, Naib Canselor dan wakil universiti, penceramah jemputan, penyelidik polar dari dalam dan luar negara, pembuat polisi, peserta MISA9 dan pelajar universiti.

“Beta juga ingin menekankan bahawa untuk penyelidikan berkembang maju di Antartika, kita mesti mempunyai rangka kerja dasar yang menggerakkan sumber untuk menyokong usaha penyelidikan Antartika.

“Sehubungan itu, beta ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kerana menerajui penglibatan Malaysia di Antartika termasuk mengawal selia YPASM yang mana beta adalah penaungnya,” titah baginda dalam kenyataan diterbitkan bersama YPASM, UiTM dan KASA.

Sejak penubuhan YPASM, ia telah menyediakan sejumlah besar geran penyelidikan kutub dan sokongan penyelidikan bernilai RM6 juta, terutama kepada saintis muda Malaysia, yang akan menyumbang kepada pemahaman tentang bagaimana planet ini berfungsi dan meramalkan perubahan masa depan.

Menteri KASA Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam majlis sama turut mengukuhkan komitmen KASA melalui YPASM dalam menangani isu perubahan iklim dan pemuliharaan sumber Antartika melalui penglibatan aktif Malaysia dalam penyelidikan sains dan urus tadbir benua ini.

“Malaysia sedang menggubal Rang Undang-Undang Antartika bagi melaksana Triti Antartika termasuk Protokol Madrid supaya negara akan menjadi ahli konsultatif yang terlibat dalam proses membuat keputusan. Pembentangan rang undang-undang di Parlimen dijangka pada 2022.

“Akta ini menjadi pemangkin yang membenarkan Malaysia sebagai negara ASEAN, malah negara Islam pertama menganggotai ahli konsultatif Triti Antartika. Kita lebih aktif dalam mengurus tadbir sepuluh peratus kawasan bumi yang sedang mendapat perhatian dalam usaha memitigasi dan mengadaptasi perubahan iklim,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata pencapaian Malaysia mengurus tadbir dan menjalankan aktiviti penyelidikan Antartika di peringkat global sangat signifikan dan unik meskipun tanpa mempunyai stesen penyelidikan di Antartika.

Beliau berkata penyelidik negara dengan bantuan YPASM dan National Antarctic Research Centre (NARC) Malaysia memperoleh akses strategik daripada hasil kerjasama dan perjanjian dengan beberapa program dari negara yang mempunyai kapasiti logistik di Antartika.

Katanya, Malaysia kini menjadi Pengerusi Asian Forum on Polar Science (AFOPS) bagi penggal 2021-2022 yang turut dianggotai oleh negara lain seperti China, Jepun, Korea, India dan Thailand bertujuan untuk menggalakkan kerjasama penyelidikan polar dalam kalangan negara-negara Asia.

“Setakat ini, Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara meratifikasi kedua-dua perjanjian antarabangsa mengenai Antartika,” katanya dan dalam kalangan negara Islam pula, hanya Turki yang mempunyai status sama walaupun baru memulakan penyelidikan Antartika secara serius pada tahun 2015.

“Sesungguhnya, amat besar harapan kita pada pada masa akan datang, Malaysia akan menjadi negara Islam pertama memiliki stesen penyelidikan termasuk rumah ibadah di Antartika,” katanya.

Pada majlis sama, YPASM mengumumkan penerima geran dan sokongan penyelidikan Antartika kepada sembilan penyelidik dari universiti tempatan melalui kerjasama Inisiatif Perkongsian Pintar antara YPASM dan lapan universiti tempatan iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), International Medical University dan  Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan jumlah keseluruhan dana bernilai RM1 juta. – BERNAMA

- Advertisement -