Sumbang kereta tingkat khidmat Jabatan Amal Tangga Batu

- Advertisement -

Oleh ABU IZZAT

TANGGA BATU:
Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berharap agar kereta Perodua Alza yang disumbangkan kepada Jabatan Amal Malaysia (JAM) kawasan ini dapat meningkatkan khidmat kepada masyarakat.

“Gunalah baik-baik kereta Perodua Alza ni untuk kegunaan Jabatan Amal PAS Tangga Batu. Untuk memudahkan pergerakan Jabatan Amal dalam beraktiviti.

“Dengan adanya  kenderaan ini diharapkan prestasi dan gerak kerja kemasyarakatan JAM akan dapat dipertingkatkan,” ujar beliau.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS negeri berkata demikian dalam majlis makan malam meraikan ahli JAM Tangga Batu serta Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda PAS kawasan di Markaz PAS Darul Ta’alim, di sini, malam tadi.

Tambahnya lagi, JAM adalah sayap parti yang berfungsi menerbangkan parti ke persada politik tanah air khususnya di Melaka.

“Jabatan Amal adalah sayap PAS. Seperti sebuah pesawat, sayap berfungsi untuk menerbangkan sesebuah pesawat.

“Begitu juga JAM, segala akitiviti kebajikan dan kemasyarakatan JAM merupakan satu peranti yang akan menerbangkan PAS,” ujarnya penuh semangat.

Beliau juga berbangga bahawa JAM khususnya di kawasan Tangga Batu sudah dapat diterima oleh masyarakat sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali dan diperlukan dalam menjalankan khidmat kemasyarakatan termasuk aktiviti di masjid dan sebagainya.

“Saya juga berharap agar JAM dapat menarik lebih ramai anak muda untuk turut bersama-sama dengan Pemuda PAS Tangga Batu untuk menjadi ahli JAM dan seterusnya dapat berbakti kepada masyarakat,” ujar beliau lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan YDP PAS kawasan, Rafie Ahmad, Naib YDP, Ir Muhammad Hanim Abbas dan pimpinan Dewan Pemuda  dan Dewan Muslimat PAS kawasan. – HARAKAHDAILY 24/10/2021

- Advertisement -