Meningkatkan daya istiqamah

- Advertisement -

ALLAH SWT telah berfirman (maksudnya): “Sesungguhnya orang-orang yang mengenaskan keyakinannya dengan: ‘Tuhan kami ialah Allah,’ kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang benar (istiqamah), maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka tidak pula akan berdukacita. Merekalah ahli-ahli syurga, tetap kekalah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal- amal soleh yang mereka telah kerjakan” (Al-Ahqaf: 13-14)

Alhamdulillah, kita memanjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah Rabbul Jalil di atas kurnia-Nya yang membolehkan kita berkonvensyen pada hari ini. Salam selawat kita panjatkan buat Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW di atas Baginda menyampaikan dakwah Islam kepada kita semua. Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang sudi merasmikan konvensyen kita pada pagi ini, dan juga YB Ustaz Dato’ Mohd Amar Abdullah, Naib Presiden PAS yang akan menutup konvensyen kita pada hari ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh pimpinan PAS Pusat, Ahli-hli Jawatankuasa Sidang Assabiqun Se-Malaysia, Ahli-ahli Jawatankuasa Pelaksana Konvensyen Sidang Assabiqun Se-Malaysia Kali Yang Pertama, seluruh perwakilan dan pemerhati yang hadir pada hari ini.

Perhimpunan kita pada hari ini merupakan Konvensyen Sidang Assabiqun Se-Malaysia Kali Yang Pertama semenjak kita ditubuhkan pada 2016. Ia adalah satu langkah besar yang dibuat dalam rangka kita menjadikan Sidang Assabiqun Se-Malaysia sebagai sebuah sayap penting di dalam perjuangan PAS. Konvensyen ini diadakan sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 pada tahun ini, yang diadakan di Kuala Terengganu secara hybrid bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa ekoran pendemik Covid 19 ini. Konvensyen kita sendiri juga terpaksa kita adalah di atas talian disebab oleh faktor yang sama. Namun begitu, kita tetap bersyukur kepada Allah di atas limpahan kurnia ini sehingga kita dapat bertemu dalam maksud yang telah saya sebutkan tadi.

Konvensyen Sidang Assabiqun Se-Malaysia tidaklah sebesar Muktamar Dewan-Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS yang akan berlangsung dalam masa yang terdekat ini. Namun begitu, dalam konteks perjuangan kita hari ini, Sidang Assabiqun Se-Malaysia tetap mempunyai peranan yang sangat besar di dalam memperkasakan jemaah kita. Kerana itu, konvensyen yang julung-julung kali ini mempunyai objektif untuk memantapkan peranan Sidang Assabiqun Se-Malaysia dalam agendanya membantu PAS sebagai rakan strategik kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ sekarang ini, di samping meningkatkan daya istiqamah ahli-ahli di dalam menghadapi cabaran untuk memperkuatkan Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN), serta membantu PAS untuk menyusun strategi bagi mengekalkan penguasaan PAS ke atas kerajaan-kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

- Advertisement -

Dengan matlamat yang besar ini, Sidang Assabiqun Se-Malaysia sebagai sebuah badan yang menghimpunkan para pejuang PAS yang telah mencapai usia emas, bermaksud untuk memastikan setiap daripada ahlinya terus memberikan sumbangan dan komitmen di dalam perjuangan menegakkan Islam tanpa memandang usia dan jawatan yang disandang. Kita harus mencontohi tokoh- tokoh besar di dalam sejarah perjuangan Islam seperti Abu Ayub al-Ansari dan Abdul Rahman bin Musa bin Nusair yang masih sanggup menjadi hulubalang dan panglima Islam pada usia emas mereka yang mencecah lapan dekad, sehingga Islam kemudiannya dapat menembusi Konstantinople dan Andalusia. Begitulah harapan besar kita agar setiap orang daripada ahli PAS dapat merealisasikan gagasan perjuangan tanpa persaraan dan bertemu Allah nanti sebagai seorang pahlawan Islam.

Assabiqun menyambung rantaian perjuangan

Allah SWT berfirman (maksudnya): “Dan hendaklah takut (kepada Allah) akan orang-orang yang sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang mereka yang mereka khuwatir terhadap (kesejahteraan)nya. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka berbicara dengan tutur kata yang benar” (An-Nisa’: 9)

Perjuangan menegakkan Islam sejak zaman Nabi SAW adalah didukung oleh golongan muda sebagai tenaga utama, sebagai barisan pelapis yang pertama membentuk pergerakan Islam. Mereka dianggap ‘as-saabiqun al-awwalun’ di dalam perjuangan Islam. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, mereka telah menjadi bintang-bintang yang menyuluhi umat di dalam memandu kehidupan beragama, yang sering kita sebutkan sebagai zaman Khulafa ar-Rasyidin. Para ‘as-sabiquun’ inilah yang membina generasi tabien kemudiannya, sebelum generasi tabien membangunkan generasi tabi’ tabien. Begitulah seterusnya peranan setiap generasi Islam membina dan membangun generasi mereka dalam melanjutkan perjuangan yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, sehingga akhirnya baton perjuangan itu diserahkan kepada kita pada hari ini. Allah SWT menyebutkan, “Dan (golongan ketiga itu ialah) orang yang mendahului (as-saabiqun) (di dalam mengerjakan kebaikan di dunia) yang akan mendahului (menerima balasan baik di akhirat). Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah). (Mereka menetap) di dalam syurga- syurga yang penuh dengan nikmat” (Al-Waqiah: 10-12)

Dalam perjuangan kita, sebahagian besar ahli Sidang Assabiqun Se-Malaysia merupakan tenaga penting perjuangan pada era sebelum ini, yang telah bergiat cergas sama ada di peringkat Cawangan, Kawasan dan Dewan-Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS di semua peringkat. Setelah komited membanting tulang untuk membangunkan perjuangan PAS sejak zaman al-Marhum Pak Yusof Rawa, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam generasi awal kepemimpinan ulamak, maka pada hari ini, kita telah menjadi veteran-veteran perjuangan Islam yang disebutkan oleh al-Marhum Pak Haji Subky Latif sebagai ‘Jasawan PAS.’ Alhamdulillah, kini kita telah berhasil membangunkan generasi penerus perjuangan yang sedangkan giat bergerak dalam kepemimpinan parti di semua peringkat.

Pun begitu, sebagai ‘as-sabiquun,’ kita pastinya tidak berpuas hati melihat generasi baru bersendirian bangkit menyambung perjuangan PAS, sedangkan kita sendiri masih punya tenaga, pemikiran dan pengalaman yang boleh disumbangkan kepada perjuangan. Dalam konteks inilah, signifikannya Sidang Assabiqun Se-Malaysia muncul sebagai wasilah untuk para as-sabiqun melanjutkan perjuangan mereka, di samping menyalurkan seluruh pengalaman bagi membantu generasi muda PAS membina kekuatan. Inilah pesanan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Majlis Makan Malam Amal as-Sabiqun pada 8 Februari 2020, bahawa tujuan Sidang Assabiqun Se-Malaysia ditubuhkan adalah supaya kita memahami di sana ada mata rantai perjuangan Islam yang tidak putus, bersambung dan bertali arus, sebagai mana ditegaskan oleh al-Quran, “tampillah kamu sama ada orang tua atau muda, ketika senang dan susah, dengan harta benda dan jiwa raga untuk menegakkan Islam.”

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semula kepada kita semua akan sejarah permulaan kebangkitan Sidang Assabiqun Se-Malaysia. Ia telah bermula dengan gagasan penubuhan Persatuan Bekas-bekas Wakil Rakyat PAS Kelantan (WIRA) pada 2010, sebelum ia ditubuhkan pada 22 April 2014 dengan dianggotai 52 orang bekas wakil rakyat. Ia juga adalah lanjutan daripada penubuhan Portfolio Urusan Veteran PAS di dalam Jabatan Pilihan Raya PAS pada 2013 ketika menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Daripada perkembangan inilah, Tuan Guru Presiden PAS telah melontar idea pada akhir Januari 2014 supaya sebuah ‘Kelab Veteran PAS’ ditubuhkan dan langkah- langkah untuk menggubal Aturan dan Peraturan Kelab Veteran PAS itu mula dilaksanakan bermula awal Februari 2014. Selepas krisis kepemimpinan PAS di Kuala Selangor pada 2015 berlalu, Penaja Kelab Veteran PAS itu telah ditubuhkan pada 2016 dengan diketuai oleh Tuan Haji Ahmad Subky Abdul Latif. Dari sinilah usaha menubuhkan badan ini dilakukan secara serius dan bersungguh-sungguh.

Hasil daripada usaha keras pemimpin pengasasnya itu, akhirnya ‘Kelab Veteran PAS’ yang belum diberikan nama ini telah berjaya ditubuhkan oleh PAS Pusat pada 14 Oktober 2017. Tuan Guru Presiden PAS telah memilih ‘Assabiqun’ sebagai nama kelab veteran ini, dan ketika melancarkan secara rasmi penubuhan kelab ini pada 18 November 2017 sempena Konvensyen Sekretariat PAS.

Kebangsaan Kali Ketiga di KUIZM, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut melancarkan namanya itu. Semenjak itu, kelab veteran ini dikenali secara rasmi sebagai Sidang Assabiqun Se-Malaysia. Tuan Haji Ahmad Subky telah memimpin pergerakan Sidang Assabiqun Se-Malaysia ini semenjak di peringkat penaja pada 2016 sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada 23 Jun 2020. Al-Fatihah. Semoga Allah memberkati usaha beliau di dalam membangunkan Sidang Assabiqun Se-Malaysia ini.

Kita merakaman sejarah permulaan kebangkitan Sidang Assabiqun Se-Malaysia ini kerana kita mahu generasi akan datang menghayati asas-asas kemunculan kita sebagai mata rantai perjuangan yang tidak pernah putus di dalam melanjutkan perjuangan Rasulullah SAW berwasilahkan PAS di negara ini. Ahli-ahli Sidang Assabiqun Se-Malaysia mempunyai peranan tersendiri yang mesti digemblengkan secara maksimum supaya setiap orang ahli PAS tidak ada yang tercicir daripada perjuangan. Usia kita yang berstatus warga emas bukanlah alasan untuk berdiam diri atau bersara daripada perjuangan, sebaliknya kitalah yang mempunyai kedudukan yang paling layak untuk membimbing anak cucu kita agar mereka istiqamah di dalam perjuangan ini. Pengalaman yang kita miliki akan menggantikan peranan tenaga yang semakin berkurang ini, untuk disuntikkan kepada anak-anak muda sebagai satu bentuk gabung jalin yang mantap dalam memotori perjuangan Islam.

Rakan Kerajaan: Menjayakan Keluarga Malaysia

Dalam konteks Malaysia hari ini, perhatian kepada warga emas (golongan berusia 60 tahun ke atas) dilihat cukup relevan sebagai suatu pendekatan baharu kerajaan Persekutuan yang telah memperkenalkan konsep ‘Keluarga Malaysia’. Bagi menjayakan hasrat Perdana Menteri untuk menangani kesan wabak Covid-19 yang sedang menular, maka konsep ‘Keluarga Malaysia’ digerakkan kepada masyarakat menerusi pelbagai agensi kerajaan ke arah menangani isu-isu kebajikan, khidmat masyarakat, rekreasi, kebudayaan, kepenggunaan dan perdagangan. Selaras dengan agenda untuk memulihkan negara daripada kesan pendemik ini dan langkah menyatukan rakyat dengan mengenepikan semua perbezaan ke arah merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, maka Sidang Assabiqun Se-Malaysia perlu tampil ke hadapan untuk memberikan sesuatu yang bermakna kepada warga emas di negara ini. Sudah pasti kita boleh berperanan di banyak ruang dalam menjayakan agenda kerajaan ini.

Justeru itu, Sidang Assabiqun Se-Malaysia telah mewujudkan Assabiqun D’Hati yang telah bergerak sebagai NGO di dalam masyarakat untuk mengadakan kerjasama atau engagement dengan mana-mana yayasan, persatuan, kelab, badan, kumpulan dan sebagainya, khususnya yang berkait dengan warga emas dalam maksud untuk pemulihan terhadap kesan wabak Covid 19. Dalam hal ini, keutamaannya adalah kepada ahli-ahli Sidang Assabiqun Se-Malaysia yang berada di peringkat terbawah iaitu di DUN atau Cawangan. Ini merupakan satu langkah pintar bagi memanfaatkan dana dan pelbagai kemudahan khidmat yang disediakan oleh kerajaan di bawah agenda pemulihan negara, khususnya berkaitan menangani kesan pandemik ini. Kita juga dapat memanfaatkan program-program Keluarga Malaysia di bawah pelbagai kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri (Agama), Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga dan lain-lain yang bersifat aktiviti kemasyarakatan, dengan kita menumpukan khusus kepada golongan warga emas.

Assabiqun D’Hati juga boleh mendekati masyarakat melalui pelbagai kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memanfaatkan dana corporate social responsibility (CSR) mereka bagi mengadakan program-program khidmat sosial kepada masyarakat warga emas di seluruh negara. Kita juga boleh terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan bersama Yayasan Amal Malaysia (YAM), Khidmat Malaysia, Ameerah, Muslim Care dan lain-lain. Dalam kata lain, selain memberikan sumbangan untuk perjuangan parti, kita juga mempunyai ruang yang boleh digerakkan di dalam program-program kebajikan, kemasyarakatan dan kemanusiaan, sehingga ke peringkat antarabangsa. Saya percaya, langkah kita memaksuki sektor kemasyarakatan dan kemanusiaan melalui hubungan strategik dengan GCL, badan korporat, NGO-NGO dan lain-lain di bawah agenda Keluarga Malaysia ini bukan sahaja akan menyerlah peranan kita, tetapi menambahkan lagi kekuatan PAS sebagai rakan bistari kerajaan.

Keluarga Malaysia menuju negara tua

Untuk perhatian kita semua, Malaysia memerlukan lebih banyak bandar mesra golongan warga emas pada masa hadapan, apabila tujuh peratus daripada rakyat negara ini telah terdiri dari kalangan penduduk berusia 65 tahun ke atas. Di Taiping, Perak misalnya, bandar ini telah dipilih sebagai bandar pertama di Malaysia untuk menjayakan projek rintis Taiping Bandar Mesra Usia atau Age- Friendly City@Taiping. Begitu juga, Bentong di Pahang, Jasin di Melaka, Kulai di Johor, Jeli di Kelantan dan Yan di Kedah, bersama Taiping telah menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia bagi tahun 2019. Kesemua ini memerlukan penambahbaikan prasarana untuk pusat penjagaan warga emas dan taman-taman rekreasi untuk tujuan latihan dan kesihatan. Apa yang saya hendak tekankan di sini ialah ruang-ruang penglibatan yang mesti dimainkan oleh Sidang as-Sabiqun di dalam memberikan sumbangan idea dan juga kegiatan bagi membantu pihak berkuasa tempatan dalam mengaturkan kegiatan yang terbaik kepada para warga emas di seluruh negara.

Menurut kajian pakar kependudukan, dalam tempoh masa sekitar sedekad sahaja, Malaysia akan berhadapan dengan realiti baharu, iaitu menjadi sebuah negara tua. Penuaan adalah fenomena global yang telah, sedang dan bakal menjadi realiti bagi kebanyakan negara di dunia. Penduduk berumur 65 tahun ke atas pada tahun 2020, berjumlah seramai 2.3 juta orang dan meningkat tahun 2021 kepada 2.37 juta orang (7.24 peratus) daripada keseluruhan 32.75 juta orang penduduk. Ini adalah berbanding tahun 2010, yang penduduknya hanya berjumlah 28.91 juta orang dengan 4.70 peratus sahaja yang berumur 65 tahun ke atas. Bayangkan pada 2030 nanti, ia dijangka mencecah 15 peratus atau melebihi 5 juta orang. Di Jepun dan Korea, jumlah penduduk yang berumur 65 tahun ke atas telah meningkat dengan ketara, dan hal ini harus dipelajari oleh kita dalam memahami cabaran Keluarga Malaya yang menuju negara tua. Jepun dan Korea telah mengemukakan pelan-pelan bagi menghadapi jangkaan pertambahan warga emas ini di negara mereka.

Apakah rancangan-rancangan yang dapat kita cadang dan kemukakan kepada kerajaan untuk menangani pertambahan generasi tua ini pada 10 tahun akan datang? Sidang Assabiqun Se-Malaysia tidak boleh memandang mudah perkara ini, kerana ia perlu diuruskan secara terancang, dan kita sendiri merupakan sebahagian dari fenomena yang sedang berkembang itu. Saya melihat, bahawa satu perhatian khusus perlu diberikan oleh PAS untuk menangani pelbagai aspek berkaitan dengan kedudukan, peranan, kebajikan dan hal-hal lain berkaitan dengan warga emas. Di sini, kita dapat lihat dengan jelas akan kepentingan wujudnya Sidang Assabiqun Se-Malaysia, yang bukan semata-mata untuk mengumpulkan para veteran PAS, tetapi juga untuk terlibat bersama kerajaan bagi menyusun dasar-dasar dan juga pelan bertindak untuk menghadapi peningkatan kadar pertumbuhan warga emas di negara ini dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.

Mengisi dan mempertahankan kemenangan

Walaupun perkembangan politik negara telah mengalami perubahan yang besar selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 yang lalu, hasrat kita untuk menjadi aktor penting dalam politik negara mulai menjadi realiti. PAS bukan sahaja menjadi penyatu di sebalik perpecahan politik Melayu, tetapi PAS turut menjadi tenaga utama pembentukan kerajaan baru di atas runtuhan Kerajaan PH pada 23 Februari 2020 yang lalu. PAS yang memainkan peranan besar di dalam pembentukan Muafakat Nasional pada 14 September 2019 dan juga penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional pada 1 Mac 2020, kemudian turut mendukung kerajaan baru pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub yang menggantikan Tan Sri Mahiaddin Yassin. Peranan yang PAS mainkan ini bukan sahaja untuk menyatukan umat Melayu Islam, tetapi untuk memastikan kepentingan nasional (national interest) dapat dipertahankan daripada digugat oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

Kita telah melalui satu pengalaman politik yang sangat mendebarkan sepanjang 22 bulan pemerintahan Kerajaan PH. Kita menyaksikan bagaimana elemen teras kenegaraan seperti hak-hak orang Melayu, kedudukan agama Islam dan kedaulatan Raja-raja Melayu telah dicabar oleh dasar-dasar liberal mereka. Usaha mereka untuk menerapkan konsep Malaysian Malaysia telah membuatkan seluruh kontrak sosial yang digubal ketika negara ini diasaskan hampir terungkai. Mereka melupakan kepentingan dasar tindakan affirmatif dalam menjamin kestabilan hubungan kaum, sehingga sejarah tragedi 13 Mei 1969 tidak diambil pengajaran. Kebangkitan pemikiran liberal turut menggugat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, di mana ia dicabarkan oleh konsep kebebasan tanpa batas yang ditaja oleh Barat. Bahkan Raja-raja Melayu yang menjadi payung negara turut dipersoalkan kedaulatan mereka.

Kerana menyedari dasar-dasar bobrok Kerajaan PH ini, PAS mengatur langkah untuk menyatukan seluruh kekuatan politik Melayu Islam. PAS melupakan pergeseran lama dengan UMNO untuk membolehkan umat Islam bersatu, PAS memaafkan kesilapan UMNO sebelum ini untuk membolehkan perpaduan dibina dan PAS bersedia untuk duduk semeja bagi mengelakkan pertembungan yang melemahkan umat. Akhirnya, kerjasama PAS-UMNO berhasil menguasai siri- siri pilihan raya kecil yang akhirnya menggugat kestabilan Kerajaan PH. Setelah jatuhnya Kerajaan PH, PAS segera bertindak menyatukan serpihan PH, Parti Bersatu Bumiputera Malaysia (BERSATU) melalui pembentukan Perikatan Nasional (PN) dan seterusnya menubuhkan kerajaan baru. PAS telah diberikan amanah untuk memimpin tiga buah kementerian, di samping mendapat lima jawatan timbalan menteri. Selepas rombakan kabinet terkini, PAS masih kekal berperanan di tujuh buah kementerian.

Persoalan pokok di sini ialah, Sidang as-Asbiqun PAS perlu memainkan peranan tersendiri dalam membantu PAS untuk mengisi kemenangan yang diberikan oleh Allah ini. Mungkin pada sesi akan datang, pimpinan baru Sidang Assabiqun Se- Malaysia perlu memikirkan langkah-langkah untuk mengumpulkan bekas-bekas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dan juga pegawai-pegawai turus yang lain, yang kini bergerak di dalam PAS untuk membentuk kluster-kluster pakar di kalangan pesara bagi menasihati Menteri dan Timbalan Menteri PAS. Kita tidak kekurangan tokoh-tokoh hebat seperti ini, bahkan di kalangan pimpinan Sidang Assabiqun Se-Malaysia pun kita mempunyai tokoh seperti Datuk Abdul Hadi Awang Kechik, bekas Ketua Pengarah PLKN. Mungkin pakar-pakar dan profesional muda PAS dapat menyalurkan kepakaran mereka melalui penglibatan langsung di dalam program kerajaan, sedangkan pakar-pakar as-sabiqun ini boleh menyalurkan idea, nasihat dan pengalaman.

Sudah tentu, di dalam konteks memperkasakan kementerian-kementerian ini, tumpuan utama kita adalah untuk membantu Menteri Agama. Ia bukan semata-mata kerana menteri dan timbalannya dari PAS, tetapi kerana fungsi untuk melaksanakan seluruh agenda Islam adalah matlamat perjuangan PAS. Apa juga kelemahan, kesilapan dan kekurangan berkait dengan agama, akan membuka ruang untuk rakyat menyalahkan PAS. Nah! Lihat sahaja bagaimana isu RUU355, isu Tabung Haji hinggalah isu arak dan judi semuanya dihalakan kepada PAS. Pun begitu, tidaklah kita bermaksud untuk mengkesampingkan kementerian yang lain. Harapan kita ialah semoga dengan penglibatan menyeluruh ini, ia akan membantu melonjakkan pencapaian wakil-wakil PAS di dalam kerajaan. Bahkan, lebih jauh lagi, ia bukan sekadar untuk mengisi kemenangan, tetapi ia adalah proses besar di dalam mempertahankan kemenangan ini.

Dalam realiti politik semasa di Malaysia hari ini, kita perlu menerima hakikat bahawa tidak ada mana-mana parti yang dapat memerintah secara bersendirian selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu. Tidak ada jalan untuk kita kekal memerintah dan mempertahankan Putrajaya, melainkan kita perlu mewujudkan kerjasama politik di kalangan parti-parti politik Melayu Islam termasuk UMNO dan BERSATU, begitu juga kerjasama dengan parti-parti Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Baik UMNO/BN yang pernah menjadi gergasi politik pada satu masa dahulu, mahupun BERSATU atau PAS, masing-masing tidak dapat menguasai Malaysia secara bersendirian, melainkan mesti mengadakan Kerjasama politik dan penyatuan umat. Sidang Assabiqun Se-Malaysia mengambil sikap untuk berdiri teguh dengan keputusan PAS dalam mengekalkan moto “Pertahankan PN dan Perkukuhkan MN.” Kita mengharapkan agar pimpinan PAS dapat berperanan sebagai musleh (pendamai) yang mengharmoni hubungan di antara UMNO dan BERSATU, sekali gus dapat mewujudkan penyatuan ummah dan menghalang PH yang dikawal oleh DAP daripada menguasai politik Malaysia.

Menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15: Undi warga emas

Jumlah pemilih Malaysia berdasar rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat suku kedua tahun 2021 ialah seramai 15.4 juta orang. Daripada jumlah ini pemilih berumur lingkungan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas ialah seramai 3.4 juta orang. Selangor menjadi negeri yang memiliki pengundi warga emas tertinggi dengan jumlah 511,000 orang, diikuti Johor (416,200 orang), Perak (390,000 orang) dan Sarawak (320,000 orang). Sementara jumlah pengundi warga emas di negeri yang ditadbir oleh PAS, didahului oleh Kedah dengan jumlah seramai 250,000 orang, diikuti oleh Kelantan (189,000 orang) dan Terengganu (114,000 orang). Apa yang penting dari jumlah pemilih warga emas ini, sukacita saya tegaskan bahawa ada tugas dan tanggungjawab serta komitmen Sidang Assabiqun Se-Malaysia di setiap Negeri, Kawasan sehingalah ke peringkat DUN – mengikut organisasi pilihan raya – untuk berperanan secara berkesan bagi mengurus dan menguasai segmen pengundi warga emas ini.

Di antara langkah strategik kita di dalam pilihan raya nanti ialah, pertama, memastikan setiap peringkat terdapatnya ahli-ahli Sidang as-Sabiqun yang bersedia menjadi Pasukan Kempen asSabiqun di peringkat DUN dan Daerah Mengundi (UDM). Kedua, segmen pengundi warga emas ini didapati semakin membesar jumlahnya sekarang sehingga 22 peratus berbanding pada pilihan raya umum yang lalu dengan jumlah sekitar 19 peratus sahaja. Saya percaya jumlah ini akan bertambah apabila pendaftaran automatik dilaksanakan, memandangkan semua pengundi muda atau warga emas yang belum mendaftar akan masuk dalam senarai pemilih secara automatik pada awal tahun 2022 nanti. Oleh itu, Pasukan Kempen as-Sabiqun perlu dilatih menerusi Jentera Pilihan Raya di kawasan masing-masing bagi menghadapi keadaan yang baru ini.

Ketiga, as-sabiqun dalam pemahaman kerajaan ialah golongan warga emas, yang telah diberikan beberapa keistimewaan oleh kerajaan. Selain mendapat kemudahan kesihatan di hospital kerajaan, ada juga hak-hak mendapat kemudahan dan sokongan kebajikan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, institusi agama negeri, termasuk Majlis Agama Islam Negeri dan lain-lain. Maka sesuai dengan kedudukan kita di dalam kerajaan Persekutuan ini, kita sepatutnya mengadakan hubungan strategik dengan pihak agensi/jabatan kerajaan bagi menjalankan beberapa aktiviti sosio-ekonomi secara bersama. Misalnya melalui YADIM, ada program Bantuan Musa’adah Covid 19 yang boleh disalurkan kepada mana-mana ahli Sidang as-Sabiqun yang memerlukan. Bahkan, kita menganjurkan program-program kemasyarakatan untuk mendekatkan pengundi- pengundi warga emas kepada PAS.

Mesra generasi pelapis

Dalam menghadapi cabaran pilihan raya umum yang akan datang, kedudukan kita sebagai orang lama dalam parti perlu dimanfaatkan untuk membentuk kerjasama strategik dengan generasi baru PAS. Hubungan simbiosis di antara as-sabiqun dan generasi pelapis dipercayai dapat membentuk kekuatan besar kepada PAS bukan sahaja di dalam Pilihan Raya Umum ke-15, tetapi juga kepada keseluruhan gerak kerja tarbiyah, dakwah dan siasah PAS. Kita sangat bertuah kerana Dewan-dewan Ulamak dan Muslimat PAS telah pun menggerakkan jentera muda mereka yang masing-masing yang dikenali sebagai Ulamak Pelapis dan Nisa’, di samping Dewan Pemuda PAS yang merupakan wadah-wadah untuk generasi muda PAS bergerak memajukan parti dalam pelbagai aspek. Adakah Sidang Assabiqun Se- Malaysia akan tersudut di satu ruang yang lain atau kita harus bersama-sama generasi muda untuk membantu perjuangan PAS?

Dari sudut inilah saya ingat menekankan supaya Sidang Assabiqun Se-Malaysia dapat mengambil satu pendekatan mesra pemuda-pemudi kita. Kita bukan hendak bersaing dengan anak-anak kita dari generasi pelapis, tetapi kita perlu saling lengkap melengkapi sehingga terhasil sebuah kekuatan. Anak-anak muda memiliki idealisme, ilmu, tenaga dan semangat juang, sedangkan kita, as-sabiqun memiliki pengalaman, ketelitian dan kesabaran, yang sebenarnya jika digabungjalinkan ia dapat menghasil momentum baru kepada perjuangan. Saya penuh percaya bahawa anak-anak muda menanti-nantikan curahan nasihat dan perkongsian pengalaman daripada kita, dan tinggal lagi adalah kesediaan kita untuk merendah diri bagi mendekati mereka di dalam sebuah keluarga besar PAS yang penuh ukhuwah dan kasih sayang. Usaha-usaha mendekati generasi muda PAS perlu disusun secara strategik dan berkala pada masa hadapan untuk tujuan ini.

Penglibatan kita bersama anak-anak muda PAS adalah bermaksud untuk menterjemahkan aspirasi Rasulullah SAW di dalam melahirkan sebuah umat yang saling berkasih-sayang dan kuat-menguat di antara satu sama lain. Orang tua mengasihi orang muda dan orang muda menghormati orang tua. Itulah idealisme yang kita mahu bangunkan, sehingga seluruh tenaga as-sabiqun ini dapat dimanfaat oleh generasi baru sebagai cerminan perjuangan mereka. Kita berharap anak-anak muda mempelajari dan mengambil ibrah dari sejarah dan pengalaman perjuangan yang telah kita tempuhi lebih awal. Kerana itu, menjadi tanggungjawab kita untuk bersikap mesra generasi muda, sehingga mereka dapat menikmati kasih sayang ‘ibu ayah’ di dalam perjuangan dan tidak merasa terpinggir daripada kita semua sehingga menyebabkan mereka dapat memacu perjuangan dengan bimbingan.

Meningkatkan daya istiqamah

Allah SWT berfirman (maksudnya): “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: ‘Tuhan kami ialah Allah’ dan kemudiannya beristiqamah (tetap teguh di atas jalan yang benar), akan turun kepada mereka malaikat dari masa ke masa (dengan memberi ilham): ‘Janganlah kamu takut (berlaku sesuatu yang tidak baik) dan janganlah kamu bersedih, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Fussilat: 30)

Kemuliaan perjuangan hanya akan tercapai dan disanjung di langit dan di bumi sesetelah seseorang itu dapat mengekalkan dirinya di atas jalan perjuangan yang benar sehingga akhir hayatnya. Inilah yang ditunjukkan oleh para Sahabat RA, Tabien, Tabi’ Tabien, Salafus Soleh dan para ulamak di dalam tradisi perjuangan Islam. Dalam perjuangan PAS sendiri, tokoh-tokoh besar seperti Prof Dr Burhanuddin al-Helmy dan Prof Zulkifli Mohammad pada generasi awal hinggalah Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada generasi mutakhirin adalah simbol-simbol pejuang istiqamah PAS. Jasa mereka dikenang dan sumbangan mereka diingati, bukan semata-mata kerana pengorbanan dan tenaga yang dicurahkan, tetapi kerana kekuatan jiwa mereka meredah perjuangan tanpa menoleh kebelakang sehingga saat bertemu Tuhan. Istiqamah mereka itulah yang menjana kemuliaan.

Kita menubuhkan Penaja Sidang Assabiqun Se-Malaysia pada 2016, adalah antara lain untuk menyediakan wadah kepada ahli-ahli senior, as-sabiqun dan jasawan PAS supaya mereka boleh teruas bergerak dan menyumbang kepada perjuangan mengikut waqi’ dan realiti mereka sebagai warga emas PAS. PAS menyedari keterbatasan dan keuzuran kita semua, PAS tidak mahu kita terpisah daripada arus perjuangan dan tidak mahu kita tercicir daripada terus menjadi mujahid di jalan Allah. Setiap ahli PAS tanpa mengira usia mesti terus diberikan peranan yang sewajarnya, bukan dengan untuk membebankan, tetapi dengan maksud untuk mengekalkan kita di atas landasan perjuangan. Ini adalah penghargaan terbesar PAS terhadap seluruh ahli-ahlinya yang lebih awal di dalam perjuangan supaya jangan ada di antara kita yang tersingkir sebelum bertemu Tuhan.

Salah satu pelajaran besar bagi kita ialah krisis dan perpecahan yang berlaku pada 2015 akibat perbuatan khianat sejumlah daripada pimpinan PAS yang membawa agenda peribadi dan kumpulan di dalam perjuangan. Kita menyaksikan anak- anak muda yang belum faham perjuangan mengalami kekeliruan sehingga mereka berpatah arang, sedangkan sebahagian tokoh-tokoh kanan juga turut terjerat di dalam kecamuk fikiran ini, lalu mereka bertukar bahtera perjuangan. Apakah pengajaran yang harus diambil oleh kita sebagai as-sabiqun dan apakah langkah-langkah yang perlu kita persiapkan supaya keadaan seperti ini tidak berulang? Kita menghagai sepenuhnya usaha-usaha yang dibuat oleh al-Marhum Tuan Haji Ahmad Subky melalui Sidang Assabiqun Se-Malaysia yang mengaturkan program-program untuk memperjelaskan tentang dasar dan sejarah perjuangan PAS, bagi menyedarkan semula ahli-ahli PAS yang terkeliru, supaya kembali ke landasan yang sebenar.

Dalam kesempatan ini, ingin saya gariskan beberapa tindakan penting untuk mengekalkan kita di atas jalan perjuangan yang benar dan terus istiqamah dengannya sehingga denyutan nadi yang terakhir:

I.             Pertama, kita mesti memastikan diri kita, ahli-ahli keluarga kita dan seluruh ahli jemaah kita kekal berpegang dengan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias sebagai rujukan tertinggi perjuangan. Jangan ada di antara kita yang melepaskan diri daripada ikatan wahyu di dalam perjuangan ini;

II.            Kedua, kita mesti terus bersama jemaah dalam memacu perjuangan. Kita sekali-kali tidak boleh bertindak sendirian atau mengikuti hawa nafsu dan pandangan peribadi sehingga membelakangan jemaah;

III.           Ketiga, kita mesti terus mentaati apa sahaja keputusan dan arahan jemaah dan kepemimpinan, selagi mana ia tidak bercanggah dengan sumber rujukan tertinggi kita;

IV.          Keempat, kita mesti terus mendukung kepemimpinan ulamak sebagai kepemimpinan yang mewarisi perjuangan Nabi Muhammad SAW, di samping kita meraikan kepelbagaian yang ada di dalam PAS, di mana mereka saling berperanan untuk memperteguhkan jentera perjuangan;

V.            Kelima, kita mestilah sentiasa memberikan sumbangan sama ada tenaga, pemikiran, ilmu, nasihat, kewangan dan apa sahaja kepada perjuangan PAS, sama ada ketika kita susah atau senang;

VI.          Keenam, kita mestilah mempunyai sangkaan yang baik dan kepercayaan penuh kepada seluruh kepemimpinan. Jangan ada di antara kita yang termakan dengan jarum-jarum halus yang dimainkan oleh musuh-musuh Islam melalui pelbagai saluran media, sehingga terpedaya dan mempunyai sikap negatif terhadap kepemimpinan; dan

VII.         Ketujuh, kita mestilah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah, sentiasa bertaubat, memperbaiki diri, memperbanyakkan amal ibadat dan doa- doa supaya Allah sentiasa melindungi kita daripada keciciran dalam perjuangan. Janganlah kita menunjukkan syahsiah dan akhlak yang buruk, kerana kita dicontohi oleh generasi muda.

Membangunkan pelapis perjuangan

Salah satu tanggungjawab besar kita ialah untuk memastikan generasi anak cucu kita menjadi penerus yang menyambung perjuangan untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Al-Quran telah memberikan isyarat bagaimana seorang anak Nabi Nuh AS telah menentang perjuangan ayahnya, manakala kebanyakkan anak-anak Nabi Yaakub AS membuat karenah yang menyulit perjuangan ayahnya. Sebaliknya, anak-anak Nabi Ibrahim AS seperti Nabi Ismail AS dan Nabi Ishak AS adalah anak-anak soleh yang melanjutkan perjuangan suci ayah mereka. Kisah-kisah ini memberikan pentunjuk yang besar kepada kita supaya sentiasa membimbing dan mentarbiyah anak-anak generasi pelapis kita agar mereka menuruti jejak kita dengan berada di atas jalan yang benar. Seperti yang diingatkan Nabi SAW, bahawa ibu bapalah yang mencorakkan agama anak- anak mereka.

Dalam konteks ini, anak-anak kita hari ini berhadapan dengan cabaran yang besar melalui penularan fahaman liberal, budaya hedonisme, kehidupan maddiyah dan juga teknologi media yang semakin canggih. Mereka terkontang-kanting mencari jalan hidup masing-masing yang bertunjangkan kebebasan. Jika mereka dibiarkan tanpa bimbingan, mereka akan hanyut dipukul oleh gelombang kehidupan. Kerana itulah, peranan kita sebagai as-sabiqun sentiasa diperlukan untuk membimbing generasi muda sebagai penerus perjuangan. Secara khusus, kita mesti membangunkan keluarga masing-masing untuk melahir generasi Islam yang berkualiti, dan secara umum kita mempunyai tanggungjawab membangunkan generasi muda umat Islam supaya mereka memiliki kefahaman, mempunyai kesedaran dan bersemangat untuk bangkit melanjutkan perjuangan.

Sidang Assabiqun Se-Malaysia wajar mengambil peranan untuk membangunkan generasi pelapis perjuangan melalui penglibatan kita di semua peringkat, supaya generasi baru terbimbing. Kita bukan sahaja perlu mengajarkan mereka tentang agama, tetapi juga membentuk kesedaran mereka tentang perjuangan. Berkongsi dengan mereka pengalaman memikul amanah menegakkan agama Allah, sehingga seluruh pahit maungnya dihayati dan dijiwai oleh mereka. Perasaan cintakan Islam, bersemangat memperjuangkan Islam dan tidak takut dengan celaan musuh-musuh Islam harus ditanamkan kepada anak-anak muda, supaya mereka sentiasa bersedia untuk menggantikan kita, mengambil alih baton perjuangan pada masa hadapan. Bahkan, golongan muda mestilah sentiasa dipesankan agar terus mempertahankan aqidah Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: “(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub) Kamu tidak hadir ketika Nabi Yaakub hampir menemui kematian, ketika dia berkata kepada anak- anaknya: ‘Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?’ Mereka menjawab: ‘Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk-nenekmu Ibrahim, Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan Yang Maha Esa, dan kepada- Nyalah sahaja kami berserah diri (Islam)” (Al-Baqarah: 133)

Kita juga menyeru pihak kerajaan di peringkat Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah oleh PAS supaya mewujudkan dasar-dasar belia yang lebih kukuh di dalam membangun generasi baru Islam yang beriman dan budiman. Dasar-dasar berkaitan pendidikan, hiburan, sukan dan apa sahaja yang berkait dengan pembangunan generasi muda mestilah dapat membentuk umat pelapis yang mampu mempertahankan Islam pada masa akan datang. Program-program kerajaan juga mestilah membentuk jiwa dan pemikiran generasi baru yang selari dengan Islam. Kita berharap program-program kerajaan yang positif dapat membantu keluarga untuk mencapai sasaran melahirkan anak-anak yang memiliki kekuatan iman. Sebab itu saya menyeru kepada ahli-ahli Sidang Assabiqun Se-Malaysia supaya memanfaatkan program kerajaan melalui badan dakwah, institusi pendidikan agama, program-program pembangunan rohani remaja dan sebagainya untuk memajukan fikrah anak-anak kita.

Akhirul kalam

Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada YB Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS yang akan merasmikan konvensyen kita pada pagi ini, seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja Sidang Assabiqun Se-Malaysia, para perwakilan, urusetia dan seluruh peserta Konvensyen Sidang Assabiqun Se- Malaysia Kali Yang Pertama pada hari ini. Bagi pihak diri saya sendiri, saya memohon keampunan kepada Allah di atas seluruh kekurangan ketika memimpin Sidang Assabiqun Se-Malaysia semenjak pemergian pengasasnya, al-Marhum Tuan Haji Ahmad Subky Latif, begitu juga bagi pihak seluruh pimpinan Sidang Assabiqun Se-Malaysia. Saya berdoa dan berharap agar seluruh penglibatan kita di dalam perjuangan Islam menjadi asbab dosa-dosa kita diampunkan oleh Allah dan saya juga berdoa agar seluruh amal perjuangan kita yang ikhlas ini diterima oleh Allah.

“Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (Al-Baqarah: 127). – HARAKAHDAILY 24/10/2021

Rencana ini ialah ucaptama yang disampaikan oleh Pengerusi Sidang Assabiqun Se-Malaysia, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed pada Konvensyen Sidang Assabiqun Se-Malaysia Kali Pertama pada 23 Oktober 2021.

- Advertisement -