PRN Melaka jadi simulator PRU15

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Rakyat Melaka mempunyai tanggunjawab yang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk menyampaikan mesej kepada pemimpin parti politik Melayu baik dari peringkat negeri, mahupun pusat.

- Advertisement -

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata PRN Melaka akan menjadi cerminan dan indikator kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Katanya, parti politik akan menjadikan PRN Melaka sebagai makmal untuk mereka menilai sama ada kecenderungan rakyat dan pengundi kekal seperti PRU ke-14 atau sebaliknya.

“PRN Melaka ini adalah simulator kepada PRU15, dan parti politik perlu melihat bahawa setiap keputusan yang muncul dari PRN Melaka adalah sebagai isyarat jelas daripada rakyat untuk parti politik yang bertanding dalam PRN Melaka kali ini.

“Melalui PRN Melaka, mereka akan menilai semula agenda, strategi serta pendekatan politik yang lebih mesra kepada kehidupan rakyat berbanding dengan kemelut antara pemimpin parti politik yang semata-mata bertelagah kerana berebut tentang kepentingan atau apa sahaja yang boleh mereka dapat apabila menjadi kerajaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut Dr Mohammad Tawfik, rakyat sudah tidak mahu melihat pemimpin politik bertelagah dalam situasi rakyat sedang dalam kesusahan.

Katanya, jika pemimpin politik berterusan menunjukkan sikap dan tindakan sedemikian, maka rakyat akan menghukum mereka pada PRU15 yang akan datang.

Sementara itu kata Dr Mohammad Tawfik, pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka akan memberi laluan mudah kepada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, situasi itu merupakan kelemahan yang sengaja diwujudkan oleh parti Melayu dan beliau berpendapat bahawa perkara itu tidak wajar berlaku.

“Kerjasama politik yang diwujudkan antara Umno, PAS dan Bersatu perlu dirunding secara berterusan.

“Sekiranya wujud perbezaan dalam kalangan parti Melayu tersebut, saya berpandangan persamaan boleh diangkat sebagai formula kerjasama semula antara parti Melayu yang bertanding,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/10/2021

- Advertisement -