Malaysia komited kukuhkan hubungan dua hala dengan UAE

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man komited untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam bidang alam sekitar dan perubahan iklim.

Menurut Tuan Ibrahim, Malaysia telah mengambil maklum mengenai hasrat UAE untuk menjadi tuan rumah pada Persidangan Perubahan Iklim ke-28 (COP 28) pada tahun 2023.

- Advertisement -

“Malaysia akan memberi pertimbangan sewajarnya ke atas permohonan ini setelah melihat kepada keupayaan UAE menjadi tuan rumah Ekspo 2020 Dubai.

“Insya-Allah, saya optimis banyak ruang kerjasama yang boleh diwujudkan demi memastikan kelestarian alam sekitar terus diarusperdanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Isnin, Tuan Ibrahim mengadakan kunjungan hormat Menteri Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UAE, Mariam Mohammed Saeed Hareb Almheiri di Dubai.

Beliau berkata, kedua-dua menteri bertukar maklumat mengenai sasaran Malaysia dan UAE dalam aspirasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih.

Katanya, Malaysia dan UAE menetapkan sasaran untuk mencapainya seawal 2050.

“Menurut PYT Mariam Mohammed Saeed Hareb Almheir, kerajaan UAE telah memperuntukkan peruntukan sebanyak AED136 juta (RM155 juta) dalam tempoh 30 tahun bagi mencapai sasaran tersebut.

“UAE mengakui negara mereka mempunyai cabaran besar untuk mengimbangi pelepasan karbon kerana kedudukan negara mereka di padang pasir. Manakala Malaysia amat bertuah kerana negara Malaysia masih mempunyai liputan hutan yang masih luas,” kongsi beliau.

Justeru itu kata Tuan Ibrahim, UAE akan menggunakan sepenuhnya kawasan paya bakau di kawasan lembah UAE untuk penyerapan karbon oleh hutan paya bakau.

Selain itu katanya, UAE amat berminat untuk mempelajari daripada Malaysia mengenai konsep ekonomi kitaran (circular economy) dan pengurusan plastik.

“Kedua-dua menteri memberikan komitmen untuk bertukar kepakaran masing-masing dalam pelaksanaan ekonomi kitaran.

“Malaysia memberikan contoh sasaran perolehan hijau (Government Green Procurement – GGP) dalam Kerajaan bagi menggalakkan syarikat di Malaysia memberi fokus kepada teknologi hijau,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, mereka mencapai persetujuan bahawa pelestarian alam sekitar adalah satu tugas yang mencabar kerana memerlukan kepada perubahan sikap dan proses Program Pendidikan Komunikasi dan Kesedaran Awam (CEPA) secara berterusan.

Oleh itu katanya, Malaysia dan UAE bersetuju untuk bekerjasama dalam berkongsi pengetahuan dan kepakaran masing-masing dalam kempen promosi.

Pada 25 September tahun ini, Mariam dilantik sebagai Menteri Perubahan Iklim dan Alam Sekitar yang baharu, susulan rombakan kabinet UAE. Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Menteri di Kementerian Makanan dan Keselamatan Air.

“Saya mengucapkan tahniah kepada beliau atas tanggungjawab baharu menerajui kementerian ini susulan rombakan kabinet kerajaan, September lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2021

- Advertisement -