Program Jalinan Digital Negara diharap siap lebih awal

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kelantan negeri menyambut baik hasrat kerajaan pusat untuk menambah peruntukan program Jalinan Digital Negara (Jendela) kepada RM1 bilion.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sebelum ini kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM700 juta bagi tujuan itu.

Katanya, kemudahan tersebut sangat penting kepada rakyat khususnya bagi sektor pendidikan, keusahawanan dan pentadbiran kerajaan.

- Advertisement -

“Kita berharap agar projek yang dijangka siap sepenuh pada 2025 itu dapat disegerakan.

“Kami menghargai pelan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melaksanakan program tersebut, jadi kita minta ia dipercepatkan lagi.

“Sepatutunya mengikut pelan, program Jendela ini siap pada 2025, tetapi kita minta dipercepatkan kepada 2023 sebab kita tahu kepentingannya kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penyerahan dua alat bantuan pernafasan ventilator di Pejabat Menteri Besar hari ini.

Turut hadir Penyelaras Strategi Penjanaan HUSM, Dr Mohamad Ibariyah Iberahim dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN), Ahmad Fathan Mahmood.

Sebelum ini beliau menerima kunjungan hormat Pengerusi SKMM, Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Ketua Operasinya, Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Rombongan tersebut menyampaikan taklimat kepada kerajaan negeri yang turut disertai anggota Exco Kerajaan Negeri, Dr Izani Husin. – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -