Kerajan negeri sumbang alat pernafasan mudah alih

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri menyerahkan dua alat bantuan pernafasan mudah alih kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, peralatan yang diserahkan itu masing-masing bernilai lebih RM60,000.

- Advertisement -

Menurutnya, sumbangan terbabit diberi selepas menyedari kekurangan dan masalah yang dihadapi HUSM dalam usaha membantu pesakit yang menjalani rawatan akibat wabak Covid-19.

“Harga keseluruhan harganya sebanyak RM129,000 disumbangkan Pejabat Menteri Besar kepada HUSM untuk membantu pesakit yang memerlukan rawatan Covid-19 di hospital itu.

“Jadi dengan bantuan ini diharap boleh meringankan sedikit beban yang dihadapi HUSM serta memenuhi keperluan untuk memberi rawatan kepada pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan dua alat bantuan pernafasan ventilator di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Turut hadir Penyelaras Strategi Penjanaan HUSM, Dr Mohamad Ibariyah Iberahim dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) Ahmad Fathan Mahmood.

Menteri Besar turut mengalu-alukan sumbangan agensi kerajaan, swasta dan institusi perbankan untuk turut bersama-sama dalam usaha tersebut.

“Kita harap bahawa jabatan-jabatan lain, swasta, bank atau mana-mana pihak yang hendak membantu kita memang alu-alukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -