Hidupkan sunnah Rasulullah dengan pelajari memanah

- Advertisement -

KUALA KRAU: ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim al-Hafiz telah menyempurnakan perasmian dan menyertai pertandingan memanah sempena Maulidur Rasul S.A.W di Bandar Jengka, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Pertandingan ini sebagai usaha menghidupkan sunnah memanah yang dianjurkan Rasulullah sebagai antara aktiviti kemahiran persenjataan dan sukan, selain memarakkan perjuangan dan dakwah Baginda.

Seramai 26 peserta pelbagai peringkat umur menyertai pertandingan ini beradu kecekapan menerusi penganjuran oleh Kelab Memanah Ahli Sunah Mara atau Kelab ASMARA yang dipimpin Pengerusinya, Jabir Razali.

Ustaz Shahril ketika perasmian itu berkata, Rasulullah sangat menganjurkan supaya anak-anak diajar dengan kemahiran berkuda, berenang dan memanah sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

“Setiap perbuatan kita biarlah menjadi ibadah termasuk beriadah dan bersukan agar mendapat ganjaran pahala di sisi Allah S.W.T

“Pertandingan ini semata-mata bertujuan menghidupkan sunnah Baginda S.A.W. Sebagai umat Nabi Muhammad, kita kena ikut segala perkataannya, perbuatannya, kehidupannya dan akhlaknya. Pendek kata segalanya kena ikut Nabi.

“Firman Allah: “Katakanlah, jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutlah aku nescaya Allah mengasihi dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”,” ujarnya memetik ayat 31 surah Ali-‘Imran itu.

Jabir yang mengendalikan pertandingan tersebut amat menghargai kesediaan Ustaz Shahril merasmikan program julung kali tersebut selain turut bersama para peserta dengan mengambil bahagian sebagai peserta.

Beliau turut mempelawa masyarakat setempat dan sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai kelab tersebut atau mengasah kemahiran sunnah tersebut dengan menghubungi beliau di talian 011-1707 5537.

Hadir sama meraikan adalah pimpinan PAS Kawasan Kuala Krau iaitu Ketua Penerangan, Mohd Fadzil Shafiie dan Ketua Pemuda, Ustaz Md Anuar Daud serta Ketua Muslimat, Rohaya Razali dan Timbalan Ketua PAS Cawangan Bandar Jengka, Idris Talip. – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -