Abai manhaj rabbani punca kekacauan umat Islam

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU:
Kekacauan yang berlaku di segenap pelosok dunia sekarang berpunca pengabaian terhadap manhaj rabbani dalam kehidupan umat Islam.

Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Manhaj Rabbani perlu dititik beratkan selaras wahyu pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w iaitu ‘baca’ atau ‘Iqra’.

“Kita dapat melihat betapa pentingnya ilmu dan Islam dalam kehidupan, sehingga mengangkat darjat kaum di padang pasir akhirnya muncul sebagai kuasa besar dunia,” ujarnya.

- Advertisement -

Beliau ketika demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu 1443 Hijrah secara atas talian semalam.

Perasmian sambutan itu disempurnakan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Sambutan Maulidur Rasul kali ini mengangkat tema ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’ yang amat bersesuaian dengan keadaan dan suasana yang sedang dihadapi rakyat sekarang.

Dr Ahmad Samsuri juga berkata, tema sambutan itu mengajak umat Islam menjadikan ‘Manhaj Rabbani’ sebagai panduan dalam kehidupan harian.

Katanya juga perpaduan merupakan faktor utama bagi mencapai kemakmuran sesebuah negara.

Menurutnya, rakyat perlu melihat perpaduan yang dicapai sekarang merupakan hasil hubungan erat antara kaum dan agama serta menolak segala anasir yang boleh memecah belahkan.

“Saya juga ingin mengucap setinggi tahniah kepada penerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul, Tokoh Dakwah, Keluarga Mithali, Keluarga Tunggal dan Anugerah Keceriaan Masjid, Surau serta Tanah Perkuburan Islam bagi 1443 Hijriah.

“Semoga, kita mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT. Saya mewakili kerajaan Terengganu berbesar hati dan berterima kasih di atas segala usaha menjayakan sambutan Maulidur Rasul,” katanya.

Sementara itu Tokoh Maulidur Rasul dianugerahkan kepada Yassin Salleh dari Kuala Terengganu. Manakala, Tokoh Dakwah dianugerahkan kepada Mohd Suhaimi Daud dari Dungun, Tokoh Keluarga Lengkap Mithali dianugerah Mohd Draman (Marang) dan Tokoh Keluarga Tunggal Mithali (Hasnah Abdullah) dari Hulu Terengganu.

Tempat pertama penerima anugerah kebersihan dan keceriaan masjid iaitu Masjid Kubang Ikan Chendering, Kuala Terengganu, kedua Masjid Hadhari Besut dan ketiga Masjid Paya Peladang, Dungun.

Penerima anugerah kebersihan dan keceriaan surau pula di tempat pertama, Surau Taman Baiduri Geliga, Kemaman dan Surau Nurul Iman Taman Golf, Kuala Nerus di tempat kedua serta Surau Al-Iman Losong, Kuala Terengganu ketiga.

Penerima anugerah bagi kebersihan dan keceriaan Tanah Perkuburan Islam pula dimenangi Tanah Perkuburan Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu dan tempat kedua, Tanah Perkuburan Kampung Kayu Kelat, Besut serta tempat ketiga Tanah Perkuburan Masjid Tok Gebok, Hulu Terengganu. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -