PASTI Perlis sambut Maulidur Rasul secara maya

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU: Sungguhpun sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini tidak dapat dilangsungkan secara bersemuka seperti sebelum ini, namun Jabatan Pendidikan Pusat Tunas Asuhan Islam  (PASTI) Negeri Perlis tetap melakukannya secara maya.

Pengarah PASTI Negeri Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil berkata, program selama dua jam menerusi aplikasi Zoom itu berjaya menghimpunkan seramai 120 orang peserta, terdiri daripada guru-guru PASTI negeri yang berlangsung dengan cukup meriah.

- Advertisement -

“Pelbagai acara diadakan antaranya alunan Qasidah dan sesi Tausiyah yang disampaikan oleh Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Dewan Ulamak PAS Kawasan Kangar, Ustaz Muhamad Akmal Yahya.

“Di samping itu, sesi tayangan video finalis juga dipersembahkan bagi acara pertandingan Video Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) Kreatif, Gema Selawat dan Sajak,” katanya ketika sambutan pada Isnin, 18 Oktober lepas.

Menurut beliau lagi, kekangan yang ada dalam melaksanakan program secara bersemuka tidak boleh menjadi halangan untuk tidak mengadakan sambutan berkenaan (Maulidur Rasul).

“Cara pelaksanaannya (sambutan) tidak penting, yang penting adalah sejauh manakah sejauh manakah kita menghayati dan menjiwai cinta terhadap Junjungan Nabi Muhammad SAW melalui sambutan yang diadakan,” katanya.

Sementara itu, pemenang bagi pertandingan Video PdPR Kreatif menjadi milik Cikgu Zarina Hamid daripada PASTI An Nur, Padang Besar manakala PASTI Darul Taqwa, Padang Besar berjaya memenangi acara Gema Selawat.

Acara sajak pula menyaksikan wakil daripada Kawasan Kangar, Cikgu Sakinah Mohd Yusof (PASTI Kawasan Kangar) telah dinobatkan sebagai pemenang. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -