Arak Timah: Kerajaan perlu bertindak segera

- Advertisement -

SAYA merujuk kepada beberapa laporan di media massa yang menyiarkan berita berkenaan kemunculan minuman keras bernama Timah yang dikatakan dibuat di dalam negara kita.

Berita ini mengejutkan negara berikutan ia timbul dalam kekalutan kerajaan Malaysia dan rakyat masih lagi bergelut dengan pandemik Covid 19 dan krisis ekonomi yang masih belum reda.

Mengikut maklumat yang diperoleh, ianya telah didaftarkan melalui MyIPO (akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia) pada 6 Ogos 2019. Nama Timah juga telah diletakkan pada jenama arak ini sempena komiditi bijih timah yang pernah menjadi sumber pendapatan negara pada masa dahulu.

Sejak kemunculan berita berkenaan minuman keras ini, ramai dalam kalangan warganet melontarkan kritikan dan kecaman kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) selaku salah satu parti komponen dalam Kerajaan Persekutuan hari ini.

- Advertisement -

Menurut sumber Kerajaan Persekutuan yang telah memberi maklum balas, menyatakan bahawa perusahaan mengeluarkan minuman keras memang sudah wujud di negara ini tetapi ia bukanlah dikeluarkan oleh kerajaan. Beliau juga menambah bahawa adalah tidak wajar bagi sesiapa mengaitkan perkara tersebut dengan kerajaan sekarang seperti yang tular di media sosial sekarang.

Dalam hal ini, kami selaku Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengambil maklum terhadap kritikan warganet dan juga maklum balas dari pihak Kerajaan Persekutuan. Kami berpendapat bahawa sebarang promosi serta penjualan minuman keras secara terbuka perlu dihentikan, kerana dikhuatiri memberi impak negatif pada masyarakat, khususnya anak muda.

Bahkan, mana-mana syarikat pengeluar minuman keras seharusnya mengambil kira aspek sensitiviti agama dalam mempromosikan produk mereka walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang majmuk.

Oleh itu, DUPP ingin mencadangkan beberapa langkah yang perlu dibuat oleh Kerajaan Persekutuan bagi menangani isu ini:-

i)             Kerajaan Persekutuan perlu melakukan semakan latar belakang (background profile check) dan ketekunan wajar (due diligence) bagi syarikat ini,

ii)            Kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah tegas dengan menutup syarikat pengeluar minuman keras ini bagi mengelakkan duluan (precedent) yang menyebabkan kemunculan syarikat-syarikat pengeluar minuman keras yang baharu,

iii)           Kerajaan Persekutuan juga perlu memastikan sebarang iklan dan promosi berkenaan minuman keras oleh mana-mana syarikat hendaklah dipantau mengikut garis panduan larangan mempromosi minuman keras dan alkohol seperti termaktub dalam Bahagian 3, Kod Kandungan mengenai Iklan, Perenggan 8.5 (Iklan Khusus Lain), Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan).

v)            Kerajaan Persekutuan juga perlu memperkemaskan pemantauan dan penguatkuasaan dari pihak berkuasa seperti dari Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna supaya ia tidak berulang lagi selepas ini.

Justeru, pihak DUPP berharap Kerajaan Persekutuan mengambil serius dan mengambil tindakan sewajarnya dalam hal ini sepertimana larangan daripada Nabi S.A.W  yang melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak. Hadis daripada Anas bin Malik, sabda Nabi S.A.W:

قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً عَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَآكِلَ ثَمَنِهَا وَالْمُشْتَرِيَ لَهَا وَالْمُشْتَرَاةَ لَهُ ‏

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak. Yang memerah, yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya. (Hadis Jami’ at-Tirmidhi: 1295)

Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
11 Rabiulawal 1443H l 18 Oktober 2021 – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -