Usul: PAS Sabah perlu bertanding PRU15

- Advertisement -

Oleh ZAKI AHMAD

- Advertisement -

KENINGAU: PAS Sabah perlu diberi peluang untuk bertanding sekurang-kurangnya lima kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Wakil PAS Pasir Puteh, Zulkiflee Awang, berkata pihaknya bertegas tidak mahu situasi Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu berulang kembali.

“Hal ini kerana PAS juga merupakan sebahagian parti yang membentuk gabungan kerajaan Sabah, hari ini,” katanya.

Zulkiflee mengusulkan cadangan tersebut pada Mesyuarat Agung PAS Keningau Kali ke-21 yang berlangsung, di sini, pada Ahad.

Sebanyak tiga usul diluluskan melalui mesyuarat berkenaan yang dihadiri seramai 83 orang, terdiri daripada perwakilan PAS Cawangan dan pemerhati.

Sementara itu, usul yang kedua yang di bawah Dewan Muslimat PAS Keningau pula adalah untuk memantapkan lagi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Keningau.

Dewan Muslimat PAS Keningau berharap agar PAS dapat merentasi seluruh masyarakat di Keningau.

Selain itu, usul ketiga yang dibawa oleh Mohd Haziq meminta pertimbangan pihak kerajaan tempatan melantik wakil PAS dalam agensi kerajaan tempatan, khususnya di Keningau dan amnya di Sabah.

Kata Mohd Haziq, lantikan wakil PAS dalam kerajaan tempatan amat penting untuk membawa suara PAS dalam setiap agensi kerajaan.

Sementara itu, bagi pemilihan ahli jawatankuasa, PAS Keningau menggunakan sistem e-Voting.

Pemilihan kali ini menyaksikan ketiga-tiga pimpinan tertinggi menang tanpa bertanding iaitu Yang Dipertua PAS Keningau, Abdul Hisham Othman; Timbalan Yang Dipertua, Sahmain Hassim dan Naib Yang Dipertua, Haimin Yusof.

Abdul Hisham Othman dalam ucapan penangguhannya mengingatkan supaya PAS Keningau sentiasa merendah diri, merakyat dalam pelbagai bentuk dan situasi bersama masyarakat.

Katanya, ia juga demi survival PAS pada masa akan datang.

Mesyuarat Agung PAS Keningau kali ini menyaksikan buat pertama kalinya kehadiran lima cawangan yang berjaya didaftarkan sebelum ini.

Mesyuarat ditutup dengan doa wehdah dan turut diserikan dengan cabutan bertuah. – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -