PDRM siap siaga hadapi PRN Melaka

- Advertisement -

MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah siap siaga menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk menggerakkan anggota dari luar Melaka bagi membantu kelancaran proses pilihan raya berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata setakat ini, pasukan pematuhan di kontinjen Melaka mempunyai 280 pegawai dan anggota bagi menguatkuasakan undang-undang sedia ada termasuk SOP Covid-19.

- Advertisement -

“Kita memang telah siap siaga dalam hal ini dan tiada masalah untuk membantu PRN Melaka dalam semua aspek yang diperlukan termasuk keanggotaan.

“Jika perlu ditambah, kita akan tambah, mengikut keadaan PRN Melaka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan kepada pesara asnaf dan anggota serta pegawai awam asnaf di Balai Polis Malim di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 40 pesara asnaf dan anggota serta pegawai awam asnaf menerima sumbangan berkenaan dan turut dihadiri Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini mengumumkan tarikh pelaksanaan PRN Melaka pada 20 Nov depan manakala penamaan calon (8 Nov) dan undi awal (16 Nov).

Pada 4 Okt lepas, SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 daripada Speaker Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri pimpinan Umno hilang majoriti di DUN. – BERNAMA

- Advertisement -