Program Hijrah Keluarga di lokasi risiko gejala dadah

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

BACHOK:
Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok melaksanakan Program Hijrah Keluarga di kawasan berisiko tinggi gejala penagihan dadah di daerah Perupok.

Pada program itu lapan keluarga penagih terdiri daripada 35 isi rumah terpilih untuk dibimbing secara menyeluruh menerusi program berkenaan.

Program terbabit dalam usaha ‘menghijaukan’ daerah terbabit sekali gus membantu mereka membina kehidupan yang lebih baik.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Bachok, Mohd Farid Abdul Razak berkata, pemilihan peserta program itu berdasarkan keluarga paling bermasalah dan miskin.

Katanya, modul bimbingan dilakukan secara menyeluruh membabitkan kerjasama pemimpin setempat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Agama Islam Adat dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Penagih terbabit akan diberikan perhatian dan dibimbing secara menyeluruh merangkumi aspek kerohanian sehingga berjaya bebas daripada gejala penagihan dadah.

“Bukan sahaja penagih malah ahli keluarga juga akan dibantu untuk membangunkan ekonomi, meningkatkan pendapatan, diberi pekerjaan dan dipastikan memiliki tempat tinggal serta persekitaran yang selesa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Jajahan Bachok sebelum itu turun padang melawat rumah lapan keluarga peserta Program Hijrah Keluarga.

Hadir sama Pengarah AADK, Rohayu Ahmad, Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin dan Adun Mohd Huzaimy Che Husin.

Mohd Farid berkata, penagih yang menyertai program terbabit berusia 22 hingga 38 tahun, antaranya mempunyai anak masih bayi dan tinggal berhimpit dalam sebuah rumah kecil serta daif.

“Misalnya, keluarga di Kampung Pauh Sembilan dibantu untuk membina rumah hasil dana RM10,000 yang disumbangkan MAIK.

“Anak-anaknya pula dijadikan anak angkat masjid yang akan diberikan didikan agama seperti kelas mengaji dan sebagainya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 14/10/2021

- Advertisement -