Projek produk napier mampu jana peluang pekerjaan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Projek penanaman rumput Napier bagi tujuan pengeluaran pulpa dan bekas makanan yang bakal dibangunkan Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dijangka mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 2,000 rakyat Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, projek bernilai RM400 juta itu melibatkan kawasan seluas 4,046 hektar di dua lokasi iaitu Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun dan di Air Putih, Kemaman.

- Advertisement -

“Kita yakin projek ini dari segi sektor perkilangan dan perladangan akan mampu menawarkan pekerjaan kepada rakyat Terengganu yang tentu akan membantu sedikit masalah pengangguran dalam keadaan kita berhadapan pandemik ini.

“Dalam kawasan tersebut, 300 ekar adalah untuk pembinaan kilang menggunakan teknologi dari China yang boleh memperoses napier dan kita berharap, dalam masa sama akan berlaku pemindahan teknologi kepada rakyat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Mendatangani Persefahaman projek tersebut antara TADC diwakili Pengurus Besarnya, Azhar @Wahab Jusoh dan Pengarah Regu Yakin Sdn Bhd, Lee Chuan Leong, di Primula Beach Hotel, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Wan Adnan Derahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim.

Menurut Dr. Azman, penggunaan pembungkusan bekas makan biodegradasi bernilai tinggi sudah menjadi trend baru dan projek yang dibuat adalah seiring dengan zaman disebabkan permintaan tinggi serta kepelbagaian ruang yang boleh dibincangkan antara kerajaan negeri dan pihak pelabur.

“Produk yang dihasilkan ini mesra alam dan selamat. Dari segi pasaran, setakat ini ada potensi pasaran ke eropah yang bukan sahaja dalam sektor makanan tetapi juga perubatan.

“Disamping projek napier ini, kerajaan negeri juga membangunkan projek penanaman lada hitam secara komersial bernilai RM320 juta yang juga boleh menawarkan sekitar 2,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, setakat ini TADC masih dalam proses menyelesaikan urusan tanah di lokasi terbabit dan menjangkakan pelaksanaan projek akan dimulakan seberapa segera yang mungkin.

“Setakat ini, boleh dikatakan projek penanaman napier yang akan dibangunkan ini yang terbesar di Malaysia berdasarkan keluasan tanahnya. Selain itu, kita juga akan melibatkan sekitar 300 orang pemilik tanah -tanah terlibat dalam dalam projek penanaman ini,” katanya. – TRDI.my

- Advertisement -