Guna saluran diplomasi selesai kemelut Sudan, Petronas

Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan kerajaan menggunakan saluran diplomasi sebagai medium alternatif bagi menyelesaikan kemelut antara kerajaan baharu Sudan dan syarikat minyak Petronas.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) perlu berhubung dengan negara mempunyai kerjasama baik dengan kerajaan Sudan khususnya negara-negara Islam, sebagai pihak ketiga mengharmonikan isu antara kedua-dua negara.

- Advertisement -

Beliau berkata, langkah dan penyelesaian efektif diperlukan memandangkan ia bukan sahaja melibatkan aset Petronas, tetapi juga hubungan antara dua negara serta nasib rakyat Malaysia yang berada di sana.

“Malaysia ini sebuah negara terbuka yang mengambil sikap berbaik dengan semua negara, jadi kita tidak mahu sesuatu yang boleh memburukkan hubungan antara Malaysia dan Sudan.

“Kerajaan Sudan patut menghargai jasa kerajaan Malaysia sejak daripada dulu yang banyak melabur dan membantu negara berkenaan serta masyarakatnya dari sudut pendidikan, kebajikan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Wisma Putra pada Rabu telah memanggil Kuasa Usaha Sudan di Kuala Lumpur untuk menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap isu berkaitan Kompleks Petronas di Khartoum, Sudan.

Beberapa media melaporkan kerajaan peralihan Sudan berhasrat untuk merampas aset milik syarikat minyak Malaysia, termasuk kompleks itu.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Wisma Putra menggesa kerajaan Sudan untuk menghormati ‘Bilateral Investment Promotion and Protection Treaty’ yang disepakati antara Malaysia dan Sudan.

Menurut kenyataan itu memandangkan Kompleks berkenaan turut menempatkan Kedutaan Malaysia, pihak Sudan digesa tidak mencemari premis diplomatik, seperti yang diperuntukkan di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

Kementerian telah bekerjasama erat dengan Petronas, termasuk melalui Kedutaan Malaysia di Khartoum, untuk menyelesaikan isu berkenaan sejak ia mula tercetus pada Disember 2020. – HARAKAHDAILY 14/10/2021

- Advertisement -