Konsep Keluarga Malaysia mudah diterima, dekat di hati rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebuah keluarga yang sejahtera memiliki hubungan yang serasi dan seimbang antara ahlinya, saling memberi dan menerima, selain setiap perbezaan diterima dengan hati terbuka, manakala kelemahan yang timbul pula diatasi secara bersama.

Takrifan keluarga sejahtera yang diringkaskan berdasarkan undang-undang sebuah negara jiran itu dilihat memadai untuk menjelaskan secara umum konsep “Keluarga Malaysia” yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas menerajui tampuk kerajaan pada 20 Ogos lepas. 

- Advertisement -

“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu sepakat untuk menyelamatkan keluarga kita iaitu Keluarga Malaysia.“ Demikian ungkap beliau semasa berucap buat pertama kali sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 22 Ogos lepas.

Menurut Ismail Sabri, konsep Keluarga Malaysia itu menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga, selain frasa (Keluarga Malaysia) itu disifatkan lebih inklusif kerana merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

Konsep itu menggariskan tiga teras utama iaitu iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Mudah diterima rakyat

Bertepatan dengan situasi semasa, konsep Keluarga Malaysia yang mendasari kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri tersebut turut menumpukan pada kerjasama rakyat dalam memulihkan negara daripada kesan pandemik Covid-19.

Seluruh rakyat yang disatukan di bawah naungan Keluarga Malaysia tidak dibezakan melalui fahaman politik, sebaliknya akan diberikan kesaksamaan mengikut  Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan  Rukun Negara.

Felow Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berpandangan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Ismail Sabri merupakan pendekatan yang mudah diterima kerana mengetengahkan unsur kekeluargaan yang sangat dekat di hati rakyat.

Gabungan nilai dan ciri yang terangkum di dalamnya sama seperti pembentukan sebuah keluarga dengan menerapkan nilai-nilai murni, kebersamaan, berkasih sayang serta saling menghormati antara satu sama lain.

 “Pendekatan ini juga selari dengan akhlak seseorang manusia dan ia sangat penting sebagai asas institusi sosial, sekali gus perlu diterapkan dalam keluarga dan masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan etnik,’’ katanya kepada Bernama di sini.

Menyatukan rakyat

Konsep Keluarga Malaysia umpama “penyejuk” dalam mencari kesamaan dan penyatuan rakyat untuk bangkit memulihkan negara yang berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi yang amat mencabar sejak pandemik Covid-19 yang berasal dari Wuhan, China, tiba di negara ini pada awal tahun lepas.

Usaha ke arah pemulihan dengan merapatkan jurang ekonomi selain menyatukan rakyat tanpa melihat  perbezaan politik, khususnya di saat  negara sedang beralih ke fasa endemik ketika ini, akan menjadi faktor pendorong  bagi merealisasikan kejayaan pendekatan konsep Keluarga Malaysia.

Ini secara tidak langsung akan mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih harmoni apabila tumpuan diberikan kepada isu-isu penting berkenaan, katanya.

 ‘’Tiga bidang utama ini merupakan sisi penting untuk keluar daripada krisis yang sedang dihadapi negara ketika ini apabila seluruh rakyat di negara ini digambarkan sebagai satu keluarga.

 ‘’Contohnya ekonomi, untuk pembentukan keluarga aspek ini sangat penting… begitu juga dalam ‘Keluarga Malaysia’ yang terdiri daripada pelbagai  latar belakang, jurang ekonomi itu sangat perlu diperbaiki.

‘’Sama juga halnya  aspek politik, yang mana kita perlu meraikan perbezaan  ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ kerana tidak semua dalam keluarga kita berpegang pada fahaman politik yang sama, jadi kita kena menghormati perkara seperti itu kerana ia merupakan hak masing-masing,’’ katanya.

Penggemblengan lima prinsip dalam Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan dalam konsep Keluarga Malaysia pula bagaikan tiang seri sebuah rumah, yang akan menjadikan rakyat negara ini lebih ampuh semasa mendepani cabaran, sekali gus menjamin kemakmuran dan perpaduan sebuah keluarga majmuk.

Merentasi etnik dan agama

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azman Awang Pawi berkata konsep tersebut yang berteraskan kekeluargaan, akan mewujudkan rasa dilindungi, prihatin dan memupuk kesejahteraan dalam kalangan rakyat. 

“Keluarga Malaysia juga menerapkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam konteks sokongan dari segi sebuah kasih sayang merentasi etnik dan agama.

“Justeru itu, sifat atau trend global kekeluargaan yang dilihat semakin mengecil dan mementingkan diri perlu dihindari bagi memastikan keluarga besar Malaysia terus makmur dan utuh,’’ katanya.

Beliau berkata hala tuju strategik Keluarga Malaysia yang bertumpu pada pemulihan negara, turut memperlihat kerjasama rakyat Malaysia yang bersatu hati dalam segala aspek termasuk kesihatan, pengawalan jangkitan dan ekonomi yang terkesan oleh penularan pandemik Covid-19.

‘’Kita nampak rakyat  tidak mengira kaum berganding bahu untuk memulihkan impak negatif kesan  Covid-19, keadaan ini  juga secara tidak langsung mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini,’’ katanya.

Pada Jumaat lepas, Ismail Sabri merasmikan prapelancaran Keluarga Malaysia yang memberi gambaran jelas berhubung konsep yang diperkenalkan beliau itu.

Semasa pelancaran itu, Perdana Menteri berkata konsep itu menjadi semangat yang mahu disemarakkan kerajaan di bawah pimpinannya.

“Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, manakala batang dan ranting menjulang kukuh nilai-nilai Keluarga Malaysia yang kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur, dan inayatnya memanfaatkan rakyat,” katanya.

Bersandarkan konsep Keluarga Malaysia ini, negara akan dipacu untuk keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi, seterusnya menjamin kesejahteraan setiap penduduk di negara bertuah ini. – BERNAMA

- Advertisement -