Lengkapkan diri ilmu pengurusan organisasi

- Advertisement -

Oleh SALMI DIN

KALABAKAN: Muslimat PAS Kalabakan disaran untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan organisasi yang sistematik, kata Ketuanya, Wardah Jefrey.

Menurutnya, Muslimat PAS mempunyai enam peranan dalam mendepani cabaran masa kini, antaranya, memperkukuhkan agenda pemerkasaan parti dalam pelbagai aspek untuk persediaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

“Muslimat perlu memaknakan aktiviti tarbiah dan serius mengkaderkan ahli-ahli baharu khususnya di peringkat cawangan.

“Selain itu, muslimat juga perlu menjadi ikon yang mesra dakwah ketika bersama dengan masyarakat dan ahli parti lain,” katanya dalam Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 10, yang berlangsung secara atas talian, pada Ahad.

Kata Wardah, muslimat juga perlu meluaskan jaringan kerjasama dan bersinergi dengan parti lain termasuk badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan, wanita dan sebagainya.

Katanya lagi, muslimat muda mempunyai peranan untuk mengajak pengundi muda mengenali politik yang matang dan sejahtera.

“Seterusnya memainkan peranan melalui media baharu dalam memberi penerangan yang jelas dan tepat terhadap isu-isu politik negara, di samping tidak melupakan PAS sebagai parti berbentuk dakwah dan tarbiyyah.

“Jemaah ini ibarat tempat kita beribadah mengumpulkan sebanyak mungkin pahala dan bekalan menuju keredhaan Allah,” katanya.

Sementara itu, dalam Mesyuarat Agung Tahunan Muslimat Kalabakan ke-10, anugerah Saidatina Aisyah diberikan kepada Timbalan ketua Ameerah Kalabakan, Nor Asikin Ahmad. – HARAKAHDAILY 12/10/2021

- Advertisement -