22 pengusaha Zoo dan Pameran Tetap dapat bantuan kerajaan

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Pengusaha Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) yang terjejas akibat pengurangan atau ketiadaan sumber pendapatan selain kutipan tiket masuk, akibat pandemik Covid-19 mendapat perhatian kerajaan.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju, berkata kementerian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah mengambil langkah segera sejak Mac 2020 bagi membantu ZPT meneruskan kelangsungan operasi.

- Advertisement -

Katanya, sebanyak RM7.3 juta melalui Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar disalurkan secara berperingkat bermula Mei 2020 hingga Ogos lalu kepada 22 premis ZPT yang terjejas.

“Dana ini bertujuan membantu meringankan bebanan kos operasi ZPT dengan menampung keperluan bekalan makanan hidupan liar, pengurusan husbandri dan ubat-ubatan.

“Malah, diskaun 15 peratus bil elektrik diberikan selama enam bulan kepada semua ZPT di Semenanjung Malaysia di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) serta diskaun 10 peratus bil elektrik di bawah Pakej Bantuan PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA+ dan PEMULIH bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2021,” katanya menjawab soalan lisan Senator Balasubramaniam A/l Nachiappan di Dewan Negara, hari ini.

Balasubramaniam meminta kerajaan menyatakan inisiatif dan alternatif kerajaan menghidupkan semula zoo berikutan situasi pandemik menyebabkan sesetengah zoo terpaksa membuka tabung derma kecemasan.

Ali berkata, bantuan lain termasuk rebat bil elektrik sebanyak 2 sen/kWj bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2021 bagi ZPT yang memiliki akaun dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama pelbagai agensi lain juga mengagihkan lebih 205.9 tan barang sitaan makanan mentah, iaitu daging dan tulang sejuk beku bernilai RM4.1 juta kepada ZPT.

Selain itu, katanya kerajaan menyediakan bantuan teknikal dalam pengurusan husbandri seperti khidmat nasihat dan bantuan kepakaran kakitangan serta pegawai veterinar Jabatan Perhilitan dalam aktiviti pemindahan hidupan liar dan pemantauan tahap kesihatan.

“Usaha juga dilakukan untuk membangunkan Model Baharu ZPT dan mengkaji semula peraturan berkaitan pengendalian ZPT di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 (Akta 716) melalui sesi konsultasi dengan ZPT dan Persatuan Taman Zoologikal dan Akuaria Malaysia (MAZPA),” katanya.

Beliau berkata, inisiatif jangka panjang itu bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan ZPT kepada kerajaan, mengukuhkan operasi ZPT supaya lebih berdaya maju serta memastikan kebajikan hidupan liar terpelihara. – HARAKAHDAILY 12/10/21

- Advertisement -