Buat ujian saringan Covid-19 sebelum pulang ke kampung

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyarankan rakyat Kelantan yang ingin pulang ke kampung untuk bertemu keluarga dinasihatkan menjalani ujian saringan kit kendiri Covid-19.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, ujian itu perlu dilakukan terutama selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri bermula semalam.

Ini juga katanya, memandangkan negara memasuki fasa endemik, di mana tiada lagi sekatan jalan raya bagi memeriksa individu sudah lengkap divaksinasi atau belum.

- Advertisement -

“Cuma kita pesan, sekiranya anak perantau ingin pulang ke kampung bertemu ibu bapa selain melengkapkan dua dos suntikan vaksin, perlu dilakukan ujian kit kendiri demi menjaga keselamatan mereka.

“Kini tanggungjawab tersebut bergantung kepada setiap individu. Saya percaya kita dapat menghadapi cabaran ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Stesen Mekawey District 50 di Tunjong Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu beliau telah merasmikan Stesen Mekawey yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat.

Menteri Besar juga berkata, berdasar maklumat Jabatan Kesihatan Negeri, setakat ini Kelantan mencapai kadar vaksinasi 74 peratus.

Bagaimanapun katanya diharap tahap imiuniti akan tercapai seperti mana disasarkan menjelang pertengahan Oktober ini.

Manakala dalam perkembangan berkaitan kata beliau memandangkan kes Covid-19 di Kelantan masih tinggi individu berumur 17 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan ‘dine-in’ di mana-mana premis makanan.

“Namun mereka boleh bersama ibu bapa dan penjaga yang lengkap dua dos vaksin untuk ‘dine-in’. Boleh keluar boleh makan bersama keluarga dan tidak boleh seorang diri,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2021

- Advertisement -