Dewan Rakyat lulus satu RUU, dua usul Kementerian Kewangan

Dewan Rakyat.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020, usul pelantikan Ahli Jawatankuasa Pemilih dan dua usul yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan melibatkan pendanaan kerajaan.

Usul-usul yang diluluskan sebulat suara itu adalah usul pelantikan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih untuk tempoh Parlimen Ke-14, pemindahan baki wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) ke Kumpulan Wang Pembangunan dan pemindahan baki wang terimaan MGII ke Kumpulan Wang Covid-19 di bawah Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275).

- Advertisement -

Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah manakala dua usul melibatkan pendanaan kerajaan dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa.

Mohd Shahar ketika membentangkan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020, berkata rang undang-undang itu bagi meminda Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 (Akta 592) bagi meminda peruntukan sedia ada dan memasukkan peruntukan baharu.

“Ia bertujuan untuk menambah baik pentadbiran levi keuntungan luar biasa melalui peruntukan remisi dan pulang balik levi dan penalti yang boleh memberi manfaat kepada orang yang membayar levi,” katanya.

Terdahulu, seramai 10 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 yang mempunyai empat fasal.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebelum menangguhkan sesi kali ini, berkata pelbagai langkah diambil bagi mengekang penularan Covid-19 di Dewan Rakyat sepanjang persidangan termasuk mewajibkan saringan RTK-AG Saliva Test secara berkala dan meningkatkan kualiti udara di dalam Parlimen.

Beliau juga bersyukur kerana tiada jangkitan atau kluster dalam Parlimen dan hanya dilaporkan sembilan kes yang berpunca daripada komuniti.

Azhar turut merakam ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen, pihak Kementerian Kesihatan (KKM), pegawai kerajaan, warga Parlimen, pengurusan Dewan Rakyat dan wakil media.

“Saya turut ingin ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Azalina Othman Said yang sudi pengerusikan sementara beberapa kali sepanjang persidangan ini. Kesediaan beliau amat saya hargai,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -