Termakbul hajat meninggal di pangkuan adik

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

TANGGA BATU: Hajat seorang amilin PAS, Baharin Jamaluddin, 59, menghembuskan nafas terakhir di pangkuan adiknya termakbul selepas dia sempat ke rumah adiknya.

Almarhum Baharin yang memandu Grab ketika itu dalam perjalanan menghantar penumpang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi tadi, almarhum dari Kampung Bukit Salleh diserang sakit jantung sempat membelok ke rumah Bakri Jamaluddin yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

- Advertisement -

Menceritakan kejadian itu, Bakri yang merupakan Ketua Penerangan PAS Melaka ketika itu sedang lena tidur dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu dari depan rumah.

“Saya terjaga dan terus memapahnya masuk. Masa itu keadaannya sudah lemah. Kami panggil ambulans.

“Almarhum kemudiannya sempat mengucap dua kalimah syahadah di pangkuan saya sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira hanya lima minit sebelum ambulans tiba,” ujarnya.

Almarhum Baharin Jamaluddin, 59

Pegawai kesihatan yang tiba mengesahkan almarhum Baharin yang merupakan Ahli Jawatankuasa Jentera Pilihan Raya DUN (JPrD) PAS Pantai Kundur dan Bendahari PAS Cawangan Tangga Batu Kecil menghembuskan nafas terakhir pada 3.30 pagi di rumah Bakri akibat serangan jantung.

Almarhum juga disahkan bebas daripada Covid-19.

Ujar Bakri, abangnya ada memberitahunya jika sampai ajal dia ingin mati di pangkuannya.

“Seminggu sebelum dia meninggal, arwah ada sebut perkara yang sama pada isteri dan keluarganya, yang kalau sampai ajal dia, dia nak mati di pangkuan saya,” ujarnya sayu.

Bakri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu berkata, almarhum abangnya itu merupakan seorang yang komited terhadap tugasnya pada parti.

Lebih-lebih lagi pada waktu sekarang ini PAS di peringkat cawangan, dewan-dewan dan kawasan sedang sibuk dengan mesyuarat agung tahunan.

“Kita sedang menghadapi mesyuarat agung ni, dia punya gigih bekerja untuk PAS. Dia gigih menyiapkan semua dokumentasi dan menghantar sendiri dokumen-dokumen yang telah siap ke pejabat Perhubungan PAS Melaka di Semabok.

“Dia bekerja untuk PAS sehingga saat akhir hayatnya walaupun dia tahu dia tidak sihat. Itu yang saya terharu,” ujar beliau kepada Harakahdaily seusai majlis pengebumian tengah hari tadi.

Jenazah almarhum Baharin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Salleh, di sini.

Terdahulu jenazah disembahyangkan di Masjid Tun Ghaffar Baba, Sungai Udang, selepas solat Zohor oleh saudara mara, sahabat handai dan ahli kariah.

Almarhum meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang kini berusia dalam lingkungan 20an.

Antara kenamaan yang hadir menziarahi ialah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen dan Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Melaka, Zainudin Latif.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek dalam satu hantaran Faceebooknya pagi tadi turut menzahirkan ucapan takziah kepada waris almarhum terhadap peristiwa sedih yang menimpa mereka ini.

“Almarhum (Baharin) seorang tokoh dan amilin PAS yang sangat baik, buah fikiran beliau banyak menyumbang kepada PAS Melaka khususnya di PAS kawasan PAS Tangga Batu. Semoga Allah membalas segala kebaikan Almarhum.

“Mewakili PAS Negeri Melaka, saya merakamkan ucapan takziah buat ahli keluarga. Semoga tabah dan sabar atas ujian ini.

“Didoakan semoga roh almarhum dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” ujar beliau dalam hantaran tersebut. – HARAKAHDAILY 12/10/2021

- Advertisement -