MOVAK sasar vaksinasi untuk remaja di PPR

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) kini mensasarkan pelaksanaan vaksinasi terhadap remaja di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata pasukan MOVAK sedang digerakkan secara berperingkat di seluruh negara bagi membantu proses vaksinani di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) negeri.

- Advertisement -

Menurutnya, sejak progam itu dilancarkan pada 23 Ogos lalu, sebanyak 84,868 dos suntikan telah diperuntukan bagi program itu dan sehingga kini telah melibatkan tujuh buah negeri, iaitu di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. 

“Pencapaian vaksinasi di negeri ini telah meningkatkan kadar vaksinasi keseluruhan negara melebihi 85 peratus pada masa ini,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Hang Tuah Jaya), di Dewan Rakyat, hari ini.

Program MOVAK merupakan inisiatif bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Program ini digerakkan bagi mewujudkan sistem sokongan dalam mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada komuniti.

Sementara itu kata Ahmad Amzad, pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) di Melaka berada pada landasan yang betul dan menuju kepada matlamat yang disasarkan.

Katanya, sehingga semalam, kadar vaksinasi dewasa di Melaka adalah sebanyak 85 peratus dan sekurang-kurangnya 91.4 peratus telah menerima dos pertama.

“Kadar pencapaian ini melebihi kadar vaksinasi populasi dewasa kebangsaan yang hari ini 84 peratus. Jadi, Melaka bukan antara negeri terendah,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2021

- Advertisement -