Cadangan struktur PJJ boleh jadi isu nasional

- Advertisement -

KOTA BHARU: Cadangan penstrukturan semula pusat pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) bukan hanya melibatkan Pusat Pengajian Jarak Jauh (PJJ), malah turut melibatkan empat lagi institusi pendidikan.

Usaha itu turut melibatkan Pusat Pengajian Bahasa, Pusat Racun Negara dan Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik.

Cadangan tersebut untuk menjadikan PJJ sebagai pusat sehenti, merupakan agenda daripada pengurusan tertinggi universiti, Majlis Senat.

- Advertisement -

Ahli senat yang mewakili PJJ Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, ia akan distrukturkan semula menjadi pusat sehenti yang melibatkan empat pusat pengajian di USM.

“Cadangan penstrukturan semula tersebut merupakan sebahagian daripada agenda pengurusan senat USM, yang diagihkan kepada ahli senat pada 15 September lalu,” katanya pada program sembang santai di laman sosial.

Baru-baru ini Harakahdaily.net mendedahkan cadangan pihak pengurusan USM dikatakan mahu menstruktur PJJ dengan alasan tidak mendatangkan keuntungan.

Berikutan itu Komiti Badan Bertindak Pelajar Pray4pjjUSM menggesa supaya proses libat urus pengurusan USM bersama pensyarah dan pelajar dibuat sebelum penstrukturan PJJ dibuat.

Dr Ahmad Fauzi juga berkata, sebuah jawatankuasa task force dibentuk bagi melakukan kajian terhadap cadangan tersebut yang dianggotai tenaga akademik dari fakulti lain di USM.

Beliau juga tidak menafikan cadangan penstrukturan tersebut bakal mengundang pelbagai isu kerana PJJ ditubuh 50 tahun lalu mempunyai ramai graduan yang berkhidmat di pelbagai sektor.

“Kesan dia besar, kemungkinan akan jadi isu nasional, saya harap pengurusan senat kena bersedia dengan kesan yang kemungkinan berlaku, alumni PJJ ramai berkhidmat dengan kerajaan,” katanya.

Malah menurutnya PJJ USM merupakan sebuah institusi kebangsaan yang ditubuhkan diagendakan di peringkat Kabinet. – HARAKAHDAILY 30/9/2021

- Advertisement -