Rusuhan Salak Selatan bukan isu rasis

Dr Halimah Ali
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Isu rusuhan di Salak Selatan, Jalan Sungai Besi, Cheras berhampiran lokasi sebuah tokong Cina pada Selasa lepas tidak harus dilihat sebagai suatu isu rasis.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Halimah Ali berkata, beliau ingin menegur sesetengah pihak yang menganggap insiden melibatkan kira-kira 30 lelaki dan wanita Cina menyerang anggota polis yang bertugas di lokasi kejadian itu sebagai isu rasis.

- Advertisement -

Menurutnya, semua perkara yang berlaku di negara ini tidak perlu dilonggokkan sebagai isu rasis, kerana dikhuatiri ia akan menimbul masalah baharu iaitu sentimen perkauman pula. 

“Semua pihak dinasihatkan supaya bertindak secara profesional, rasional dan tidak beremosi dalam isu rusuhan di tokong Salak Selatan ini,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily

Sehubungan itu, Halimah berkata, pihak kerajaan perlu memainkan peranan untuk menyelesaikan isu kelompok masyarakat berbilang kaum di negara ini,

“Pihak yang bertelagah atau merusuh itu juga perlu berlapang dada dan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. Berbincanglah dengan baik, tidak perlu sehingga menyerang pihak berkuasa,” katanya. 

Pada Selasa lepas, Ketua Polis Daerah Cheras, Muhammad Idzam Jaafar, menafikan insiden rusuhan di Salak Selatan  tersebut berpunca daripada tindakan untuk merobohkan tokong yang terletak berhampiran lokasi kejadian. 

Insiden yang berlaku itu menurutnya, ketika Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) membuat operasi bagi membina pagar penghadang untuk membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah yang terletak berhampiran tempat kejadian. – HARAKAHDAILY 30/9/2021

- Advertisement -