‘Stesen Mek Awey’ bantu anak muda cari rezeki

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Bagi membantu anak-anak muda aktif dalam perniagaan kerajaan negeri akan menyediakan platform bazar mini yang dikenali ‘Stesen Mek Awey’.

Nama itu dipilih sebagai simbolik anak muda Kelantan yang dipanggil ‘mek’ bagi wanita, manakala ‘awey’ untuk lelaki.

Program berkenaan akan dikendalikan Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS) bagi memberi ruang untuk anak muda berniaga.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, seramai lima belia yang akan memulakan perniagaan pada 12 Oktober ini di Bandar Baru Tunjong.

Katanya, bagi menjayakan projek perintis itu lima vendor dipilih iaitu Ko-Ummah, Mr Tako, Supdeko dan Fried Chicken.

“Dua lagi vendor terpilih Brew Street Cofee dan Syukor Burger. Kerajaan negeri memperuntukkan antara RM2,000 hingga RM5,000 kepada perintis berkenaan mengikut perniagaan yang mereka akan ceburi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Stesen Mek Awey di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Terdahulu lima pemilik vendor terbabit menandatangani perjanjian persefahaman dengan peniaga terpilih dengan disaksikan Wan Roslan. Turut hadir Pengarah U-BeS Nasruddin Mahmud Muhaidin.

Wan Roslan juga berkata program berkenaan akan dikembangkan di setiap jajahan di Kelantan selepas kejayaan projek perintis tersebut.

“Kalau berjaya atau maju, insya-Allah kita akan kembangkan lagi ke jajahan lain,” ujarnya.

Beliau juga berkata, konsep perniagaan itu secara pandu lalu atau ‘bungkus’ memandangkan trend terbabit boleh diterima masyarakat termasuk di Kelantan pada musim pandemik Covid-19 sekarang. – HARAKAHDAILY 30/9/2021

- Advertisement -